JOHOR BAHRU - Polis Johor memantau 47 lokasi panas (hotspot) dikenal pasti kerap berlaku kesesakan dan 38 lokasi hitam (blackspot) sering berlaku kemalangan sepanjang Ops Selamat 26 Aidilfitri bermula esok hingga 24 Mac.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata operasi yang dilaksanakan itu seiring dengan jangkaan peningkatan sehingga 20 peratus kemasukan kenderaan ke negeri tersebut.
"Dua laluan utama sempadan negara, iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) juga menjadi tumpuan berikutan peningkatan aliran trafik menjelang perayaan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Ops Selamat 26 Aidilfitri di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata kekuatan operasi ialah sebanyak 2,018 orang terdiri daripada 168 pegawai dan 1,118 anggota pelbagai jabatan serta 69 pegawai dan 663 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT)
Beliau berkata Ops Selamat bertemakan "Kongsi Perjalanan, Kongsi Keselesaan, Keselamatan Diutamakan” menumpukan tiga objektif utama, iaitu pencegahan jenayah pecah rumah, meminimumkan kemalangan jalan raya serta memastikan kelancaran aliran trafik.
Mengenai statistik tahun lepas, beliau berkata Ops Selamat merekodkan 1,642 kemalangan dengan 26 kematian manakala 10,189 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.
"Penunggang motosikal menjadi penyumbang utama kemalangan maut dengan tujuh kematian direkodkan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Ab Rahaman menasihatkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal serta memastikan kenderaan dalam keadaan baik bagi menjamin keselamatan sepanjang musim perayaan.
Orang ramai digalakkan memaklumkan pergerakan pulang ke kampung kepada polis melalui Borang Maklumat Balik Kampung di balai berhampiran atau aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).
Beliau berkata sehingga 16 Mac, sebanyak 117 maklumat diterima menerusi VSP dan 117 borang telah dikemukakan orang awam. - Bernama



