
KUALA LUMPUR – Selaku ketua juri bagi Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25), Ajai memberi jaminan bahawa proses penjurian dilaksanakan secara telus dan bebas.
Ajai atau nama lengkapnya Mohd. Faizal Maas, 51, menegaskan bahawa sistem kawalan ketat dibentuk bagi memastikan tiada sebarang unsur pilih kasih berlaku.
“Bila mereka dipanggil pun, mereka tak tahu lagu-lagu mereka ada terbabit sebab penghantaran lagu dibuat pihak label.
“Industri kita kecil. Kita harus menggunakan kepakaran generasi sekarang juga, sama ada orang lama ataupun yang baharu yang masih terlibat dalam muzik sekarang (untuk menilai).
“Walau saya selaku ketua juri pun, saya tak tahu lagu saya ada di dalam kategori pop. Kita berkarya dan kita berkhidmat.
“Bila saya menyatakan AIM ini sebagai satu khidmat, kita berkhidmat untuk industri,” katanya kepada Kosmo! Online pada Majlis Pengumuman Top 5 Anugerah Industri Muzik ke 25 (AIM25), kelmarin.
Tambahnya, setiap ahli panel juri yang mempunyai kaitan secara langsung dengan karya, artis atau ahli keluarga yang bertanding tidak dibenarkan memberi sebarang pemarkahan dalam kategori berkenaan.
“Kalau ada juri itu terlibat dalam pencalonan yang dijurikan sebelum dijurikan, saya akan periksa dulu.
“Kalau lagu itu dia terbabit, dia kena letak ‘S’. Dia hanya mendengar saja tanpa menggunakan pen (memberikan markah). Perkara itu akan dipantau saya dan juga pihak RIM (Persatuan Industri Rakaman Malaysia).
“Saya rasa mereka ini pun takkan ada masalah seperti, ‘Oh, nak sangat lagu aku menang’. Rata-rata yang saya lihat, semua juri memberikan kerjasama yang bagus dan memberikan pendapat yang bagus,” jelasnya.
AIM25 menampilkan 120 barisan juri pelbagai latar belakang, termasuk komposer, pemuzik, penyanyi, penerbit dan penggiat seni.
Antara nama yang menganggotai panel berkenaan ialah Prof. Madya Dr. Azam Dungun, Abraham Tee, Adi 6ixth Sense, AG Coco, Ahmad Ghazi, Akim Ahmad, Alvin Teoh, Amir Jahari dan Amylea Azizan.
Turut disenaraikan ialah Datuk Chuari Selamat, Datuk Syafinaz, DJ Fuzz, Dr. Burn, Edrie Hashim, Ernie Zakri, Fauzi Marzuki, Fedtri Yahya dan Galvin Patrick Martin.
Selain itu, nama berpengalaman lain termasuk Genervie Kam, Hael Husaini, Hafiz Hamidun, Kamarul Izam, Loque, Mark Adam, Saari Amri, Sharon Paul dan Tomok.
Bagaimanapun, persoalan timbul apabila terdapat beberapa karya yang dipertandingkan mempunyai kaitan dengan juri seperti lagu Diari Air Mata ciptaan Ajai, Ayuh Pulang ciptaan Amir Jahari, Gasoline nyanyian Akim and The Majistret, Beribu Tanda Tanya nyanyian Syamel dan Cinta Negara Selamanya nyanyian Stacy. – KOSMO! ONLINE
The post AIM25: ‘Ketua juri pun, saya tak tahu tercalon kategori pop’ appeared first on Kosmo Online.


