AIM25, malam terbaik Mimifly, Ella, Siti Nurhaliza

EntertainmentMusic
30 Sep 2026 • 4:37 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: AIM25, malam terbaik Mimifly, Ella, Siti Nurhaliza

PERTAMA kali dianjurkan di Bumi Kenyalang, acara berprestij Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) membuktikan cabang seni terhalus itu sememangnya merentasi sempadan lautan dan budaya, tidak hanya tertumpu di satu titik.

Lazimnya diadakan di Kuala Lumpur, AIM25 kali ini menyaksikan acara berprestij tersebut bertukar angin. Bukan sahaja Sarawak menjadi tuan rumah, banyak pembaharuan diperkenalkan secara tersurat dan tersirat.

Malam kemuncak AIM25 menyaksikan trofi-trofi ‘big four’ iaitu iaitu Album Terbaik menjadi milik Aisha Retno menerusi album [RE:HAB]. Artis Terbaik menjadi milik Alpha. Datuk Seri Siti Nurhaliza pulang dengan trofi Lagu Terbaik, manakala Rakaman Lagu Terbaik milik Akim & Majistret (Gasoline).

Berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), dari segi dominasi trofi, penyanyi Mimifly pulang dengan lima trofi menerusi kategori Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu menerusi Nara, Lagu Perayaan Terbaik dan Lagu Dengan Video Kreasi Terbanyak Di TikTok menerusi Serumpun, sementara trofi Video Muzik Terbaik dan Lagu Pop Elektronik/Dance Terbaik diraih menerusi Temberang. Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut menyerlah apabila membawa pulang empat trofi.

Image from: AIM25, malam terbaik Mimifly, Ella, Siti Nurhaliza
SITI NURHALIZA akan terus menghantar penyertaan AIM selagi masih menghasilkan album dan karya demi peminat dan kelestarian industri seni tanah air.

Siti memenangi kategori Vokal Wanita Terbaik menerusi Kesuma, Lagu Tradisional Terbaik dan Lagu Terbaik menerusi Pesanan Buat Diri serta Kolaborasi Terbaik Oleh Artis Tempatan Dan Artis/Penggubah Antarabangsa menerusi Cenderamaya.

Album [RE.HAB] pula memenangi kategori Rakaman Album Terbaik, manakala sebuah lagi trofi diraih Aisha menerusi O.R.B.I.T bagi kategori Lagu Tempatan Bahasa Inggeris Terbaik.

Kemenangan Album Terbaik menyaksikan Aisha, 26, mengenepikan empat pencabar lain iaitu Sa25 nyanyian Shila Amzah, Album: Lelaki Gila oleh Naim Daniel dan Adnin Roslan, Gema Bumantara (Siti Nurhaliza) serta Jati Diri (Faizal Tahir dan Let Zapin).

Bercakap tentang pemilihan [RE:HAB] sebagai Album Terbaik, Ketua Juri, Ajai berkata, penilaian dibuat secara keseluruhan, bukan hanya berdasarkan lagu semata-mata, sebaliknya melihat keseluruhan pakej karya berkenaan.

Image from: AIM25, malam terbaik Mimifly, Ella, Siti Nurhaliza
Ajai dan Rosmin berpuas hati dengan penganjuran dan keputusan AIM25 meskipun masih terdampak dengan resmi ‘rumah siap, pahat berbunyi’.

Tak dedah ‘markah’

“Saya rasa ini satu keputusan yang baik. Mutu yang bagus itulah yang perlu kita ke depankan,” katanya.

Mengulas tentang kategori paling sengit untuk diadili dan ditentukan, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25 merangkap Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim tanpa berselindung berkata, menghakimi Lagu Pop Terbaik mempunyai cabaran tersendiri di meja juri.

“Kategori itu mempunyai jumlah pencalonan yang tinggi. Jadi, untuk mendapat tempat dalam lima terbaik pun memang cukup mencabar. Kalau mahu memenangi kategori itu, sudah tentu karya berkenaan perlu benar-benar istimewa,” katanya.

Mengenai jumlah markah atau jarak antara pencalonan pula, perkara itu tidak dapat kita ketahui kerana pemarkahan dikira oleh pihak auditor.

“Kita hanya mengetahui lima pencalonan terbaik dan perbezaan markah berkenaan kerana selebihnya adalah rahsia yang disimpan oleh auditor,” kata Ajai.

Image from: AIM25, malam terbaik Mimifly, Ella, Siti Nurhaliza
MIMI mengakui berdepan perubahan yang sangat mendadak selepas mengambil keputusan membuat kemunculan semula pada penghujung 2024 menerusi lagu Angkat.

Bermakna, berbeza-beza

Dalam pada itu, Mimifly pula menyifatkan lima trofi yang diraih sebagai satu momen paling bermakna selepas 18 tahun berjuang membina nama dalam industri muzik dengan pelbagai ujian dilalui.

Mimi, 39, berkata, pencapaian diraih tidak pernah menjadi ukuran untuk berhenti atau terus berkarya kerana menghasilkan muzik adalah sesuatu yang dilakukan atas dasar kecintaan terhadap seni.

“Saya tidak kisah sama ada menang atau tidak kerana masih banyak karya yang mahu saya hasilkan. Tetapi, saya sangat bersyukur kerana AIM iktiraf saya dan hasil kerja ini,” katanya.

Image from: AIM25, malam terbaik Mimifly, Ella, Siti Nurhaliza
TAHUN ini Ella menjadi penerima Anugerah Sri Wirama.

Siti terus ‘hantar’

Aisha atau nama sebenarnya, Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam pula tidak pernah menyangka akan membawa pulang trofi utama, Album Terbaik. Katanya, [RE:HAB] miliki nilai tersendiri dalam perjalanannya sebagai pemuzik.

“Semua genre itu adalah hasil eksplorasi saya, satu fasa ketika saya mencari dan meneroka bagaimana bunyi muzik saya. Jadi, pendengar boleh disajikan dengan pelbagai genre yang mungkin selama ini hanya mengenali saya menerusi lagu Raya atau Tak Adil,” katanya.

Menurut Aisha, kepelbagaian bunyi dalam [RE:HAB] dihasilkan supaya karya berkenaan dapat dinikmati pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus mendekatkan muziknya dengan khalayak.

Tidak pernah lelah menyertai AIM25, Siti Nurhaliza pula mengakui, selagi kudrat dikandung badan untuk dirinya melahirkan karya seni, selagi itu dia akan menghantar penyertaan ke acara berkenaan.

“Mungkin untuk anugerah lain, saya bersedia untuk menarik diri. Saya pernah buat begitu ketika Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Untuk AIM, saya tidak boleh mementingkan diri sendiri kerana ada orang lain yang perlu saya hargai. Ini adalah pentas terbaik untuk mereka. Jadi, tidak ada alasan untuk saya menarik diri,” ujar Siti.

Sebenarnya, buat penulis secara peribadi AIM25 telah meletakkan satu piawaian baharu. Baik dari segi kualiti penganjuran yang bersilang budaya, jumlah kategori dipertanding dan keputusan pada malam penganjuran, itu semua ada hitam dan putihnya.

Untuk penulis yang berada di meja pengamal media melakukan liputan, mungkin patut diberikan sedikit pencerahan mengapa sebilangan kategori itu keputusannya menjadi sedemikian rupa. Misalnya, Album Terbaik menjadi milik diskografi yang berstatus EP kepanjangannya hanya empat atau lima trek.

Image from: AIM25, malam terbaik Mimifly, Ella, Siti Nurhaliza
AISHA menyifatkan ibunya, Jean Retno Aryani sebagai individu penting, pendorongnya meneruskan perjalanan seni, selain sokongan daripada ayah dan adiknya.

The post AIM25, malam terbaik Mimifly, Ella, Siti Nurhaliza appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved