Air India muktamadkan tempahan 470 kapal terbang di Paris Air Show

Business & Finance
21 Jun 2023 • 11:08 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

NEW DELHI: Air India memuktamadkan tawaran memperoleh 470 pesawat Airbus dan Boeing pada Selasa di Pameran Udara Paris 2023 ketika syarikat penerbangan itu memaparkan rancangan pertumbuhannya.

Syarikat penerbangan itu membeli 190 Boeing 737 MAX, 20 Boeing 787 Dreamliner dan 10 jet Boeing 777X temasuk 50 lagi 737 MAX dan 20 Dreamliners, manakala pesanannya dengan Airbus terdiri daripada 140 pesawat A320neo dan 70 A321neo, 34 A350-1000 dan enam jet A350-900.

Tempahan itu, bernilai kira-kira US$70 bilion, dan diumumkan pada Februari tahun ini.

Boeing memaklumkan pesanan Air India adalah yang terbesar di Asia Selatan, dan pesawat AS itu meramalkan pertumbuhan penumpang yang ketara dalam dua dekad akan datang.

“Satu set perkhidmatan penerbangan yang komprehensif juga akan membolehkan Air India mengembangkan operasi secara mampan dalam pasaran penerbangan di Asia Selatan. Dalam tempoh 20 tahun akan datang, perkhidmatan penerbangan di Asia Selatan dijangka menyaksikan peningkatan lebih tiga kali ganda daripada 700 kepada 2,300 kapal terbang bagi memenuhi permintaan penumpang,“ menurut Boeing dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Paris.

Airbus dalam kenyataan medianya menyatakan bahawa pesanan Air India menandakan kemasukan ke dalam perkhidmatan A350 di India.

“Pesawat jarak jauh serba baharu itu akan membantu membuka potensi pasaran jarak jauh India,“ kata pembuat pesawat Eropah itu.

Penghantaran dimulakan dengan A350-900 pertama sebelum penghujung 2023, tambahnya.

“Program pembaharuan dan pengembangan pesawat kami akan menyaksikan Air India mengendalikan pesawat yang paling canggih dan jimat bahan api merentasi rangkaian laluan kami dalam tempoh lima tahun.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan semua rakan kongsi kami, termasuk Airbus, untuk membina semula imej global syarikat penerbangan yang mencerminkan India sebagai entity yang boleh diyakini di seluruh dunia,“ kata Campbell Wilson, ketua pegawai eksekutif dan pengarah urusan Air India.

Kumpulan Tata mengambil alih Air India daripada kerajaan pada Januari 2022. -Bernama