
Air Selangor Kongsi Kisah Kesihatan Mental Menerusi ‘Raya Ikut Rasa’
Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mempersembahkan sebuah video pendek bertajuk ‘Raya Ikut Rasa’, sebuah kisah menyentuh hati yang mengangkat tema kesihatan mental, kasih sayang keluarga, penerimaan diri dan kekuatan menghadapi cabaran emosi.

‘Raya Ikut Rasa’ mengisahkan hubungan istimewa antara seorang nenek, Wan, dan cucunya, Kayla, yang bercita-cita untuk menjadi pencipta kandungan. Namun, impiannya tergugat apabila dia berdepan tekanan emosi akibat buli siber selepas berkongsi video masakan di media sosial. Menyedari perubahan pada diri Kayla yang semakin menyisihkan diri, Wan mengajaknya menghasilkan video masakan bersama sepanjang bulan Ramadan. Detik kebersamaan ini bukan sahaja menyentuh hati ramai di alam maya, malah membantu Kayla membina semula keyakinan dirinya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Video perayaan terbaru Air Selangor ini menampilkan barisan pelakon tempatan seperti Normalis Nordin sebagai Kayla dan Khatijah Tan sebagai Wan, serta turut dibintangi Louisa Chong sebagai Mei dan Sukania Venugopal sebagai Rani, yang menghidupkan lagi kisah menyentuh hati tentang kesihatan mental, keyakinan diri, sokongan keluarga dan penerimaan diri dalam berdepan buli siber.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata, “Melalui ‘Raya Ikut Rasa’, kami ingin menyampaikan mesej bahawa sambutan perayaan tidak semestinya sempurna. Apa yang lebih penting adalah keikhlasan dalam berkongsi perasaan, memahami antara satu sama lain serta memberi sokongan kepada mereka yang sedang melalui cabaran emosi.

“Video ini juga merupakan sebahagian daripada siri iklan perayaan Air Selangor bagi tahun 2026 yang mengangkat tema ‘Kasih Mengalir Seperti Air’, yang turut diterapkan dalam sambutan Tahun Baharu Cina dan Deepavali. Tema ini menggambarkan bagaimana kasih sayang dan sokongan keluarga sentiasa mengalir, seperti air, dan mampu membantu seseorang menghadapi pelbagai cabaran kehidupan seperti kesihatan mental ,” tambah beliau.

Raya Ikut Rasa’ turut mengetengahkan realiti buli siber yang boleh menjejaskan keyakinan diri, khususnya dalam kalangan generasi muda. Menerusi kisah Kayla dan Wan, video ini mengingatkan bahawa sokongan keluarga dan kebaikan yang dikongsi bersama mampu membantu seseorang kembali bangkit, selari dengan semangat Hari Raya Aidilfitri yang menekankan nilai kebersamaan, kemaafan dan keikhlasan.



