
MENJELANG Syawal yang semakin hampir, suasana raya mula terasa, dari lagu-lagu lama yang kembali berkumandang sehinggalah tradisi pulang ke kampung yang sentiasa dinanti.
Dalam kemeriahan itu, hadir sebuah naskhah baharu yang cuba menyuntik warna segar dalam sambutan Aidilfitri tahun ini.
Sempena meraikan Aidilfitri 2026, Suria FM dengan kerjasama Toyota tampil melancarkan lagu dan muzik video (MV) berjudul Gurindam Aidilfitri.
Dilancarkan secara rasmi pada 9 Mac lalu, lagu tersebut menyatukan suara penyampai popular stesen berkenaan seperti Fad, Ajak, Elly, Cik Piah, Chiwan, Kai, Irsyad dan DJ Lin dalam satu karya yang penuh keceriaan.
Apa yang menarik, Gurindam Aidilfitri bukan sekadar lagu raya biasa. Ia menggabungkan elemen moden dengan sentuhan tradisional, menjadikannya mudah melekat di telinga, namun tetap mengekalkan jiwa klasik Aidilfitri.
Di sebalik melodi yang ringan dan ceria, terselit nilai yang cukup dekat dengan masyarakat, tentang keluarga, kemaafan dan hubungan yang kembali dirapatkan selepas setahun berlalu.
Diterbitkan oleh Lsandbeats Legacy dengan komposisi daripada Luca Sickta dan Nazif Analog, lagu ini juga diberi nafas puitis menerusi lirik yang ditulis bersama B-Heart.
Hasilnya, ia bukan sekadar hiburan, tetapi turut mengajak pendengar mengimbau makna sebenar raya, bukan pada kemewahan semata-mata, tetapi pada rasa syukur dan kebersamaan.
Muzik videonya pula membawa penonton menyelusuri momen-momen yang cukup sinonim setiap kali Syawal menjelma.
Dari babak memohon maaf di pagi raya, kunjung-mengunjung ke rumah saudara-mara, hinggalah ke suasana berkongsi juadah bersama, semuanya digarap dengan sentuhan visual yang hangat dan dekat dengan realiti masyarakat Malaysia.
Tidak ketinggalan, elemen perjalanan pulang ke kampung turut diselitkan, menggambarkan antara detik paling dinanti setiap tahun.
Menariknya lagi, pelancaran lagu ini turut diserikan dengan inisiatif interaktif apabila Suria FM memperkenalkan 'Gurindam Aidilfitri Dance Challenge'.
Cabaran berkenaan membuka ruang kepada orang ramai untuk turut sama menjadi sebahagian daripada kemeriahan, bukan sekadar sebagai penonton tetapi juga pencipta momen bersama keluarga dan rakan-rakan.
Dengan konsep yang santai dan mudah diikuti, peserta hanya perlu menampilkan langkah tarian rasmi seperti dalam muzik video tersebut.
Lebih menarik, cabaran ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sehingga RM3,000, dengan ganjaran RM1,500 untuk tempat pertama, RM1,000 bagi tempat kedua dan RM500 untuk tempat ketiga.
Namun, lebih daripada hadiah yang ditawarkan, cabaran ini sebenarnya menjadi satu medium untuk menghidupkan kembali semangat berkumpul dan bergembira bersama.
Dalam konteks gaya hidup hari ini, lagu raya bukan lagi sekadar halwa telinga. Ia menjadi sebahagian daripada pengalaman, mengiringi perjalanan pulang, menemani sesi menghias rumah, malah menjadi latar kepada video dan gambar kenangan yang dikongsi di media sosial.
Gurindam Aidilfitri hadir mengisi ruang antara tradisi dan modeniti. Ia tidak cuba menggantikan lagu-lagu lama, tetapi menawarkan pilihan baharu sesuai dengan cita rasa generasi kini tanpa melupakan akar budaya.




