AirAsia lancar laluan baharu Kuala Lumpur–Banjarmasin, Indonesia

LocalTravel
22 Sep 2025 • 5:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AirAsia lancar laluan baharu Kuala Lumpur–Banjarmasin, Indonesia

image is not available

22/09/2025 - 17:18

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Sept – AirAsia melancarkan laluan terus baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Banjarmasin, bandar terbesar di Kalimantan Selatan, Indonesia dalam usahanya memperkukuh rangkaian di bandar-bandar negara jiran itu kepada 229 penerbangan mingguan.

Perkhidmatan baharu itu akan bermula pada 20 Oktober 2025, menawarkan akses lebih mudah kepada pelancong dan pengembara ke Kalimantan Selatan yang terkenal dengan kekayaan budaya, alam semula jadi serta potensi ekonomi yang pesat.

AirAsia Malaysia kini terbang ke 18 destinasi di Indonesia termasuk Jakarta, Bali (Denpasar), Medan, Yogyakarta, Banda Aceh, Makassar, Padang, Pekanbaru, Balikpapan, Labuan Bajo, Lombok, Palembang, Semarang dan Pontianak, dengan Banjarmasin menjadi destinasi terbaharu.

Selain itu, AirAsia turut menghubungkan Kuching ke Pontianak, serta Pulau Pinang ke Jakarta dan Medan menjadikannya antara syarikat penerbangan asing yang paling luas rangkaiannya di Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra berkata, laluan terbaharu itu melengkapkan rangkaian syarikat penerbangan tambang rendah tersebut di Indonesia, salah satu pasaran paling strategik dan pesat berkembang.

“Dengan 229 penerbangan mingguan, kami berbangga memainkan peranan penting memperkukuh hubungan dua hala, merangsang pertumbuhan pelancongan, serta membuka lebih banyak peluang perjalanan perniagaan dan percutian antara Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.

image is not available

image is not available

Sementara itu, Setiausaha Daerah Wilayah Kalimantan Selatan merangkap Pemangku Kepala Dinas Pariwisata, Muhammad Syarifuddin berkata, pihaknya menyambut baik AirAsia sebagai syarikat penerbangan antarabangsa pertama yang menghubungkan Kuala Lumpur secara terus dengan Banjarmasin.

“Kalimantan Selatan mencatatkan 1.49 juta perjalanan pelancong domestik pada Julai 2025, meningkat 77% berbanding tahun sebelumnya dengan kadar penginapan hotel mencapai 52.17%.

“Perkhidmatan baharu ini akan meningkatkan lagi kedatangan pelancong antarabangsa serta peluang perdagangan, pelancongan dan pelaburan selaras dengan rancangan pembangunan wilayah kami,” katanya.

Sempena pelancaran ini, AirAsia menawarkan tambang promosi istimewa sehala bermula RM299 dari Kuala Lumpur ke Banjarmasin dan IDR1,099,000 dari Banjarmasin ke Kuala Lumpur.

Promosi boleh ditempah hingga 28 September 2025 untuk perjalanan antara 20 Oktober 2025 hingga 28 Mac 2026 menerusi aplikasi AirAsia MOVE dan airasia.com. - DagangNews.com

standard