AirAsia pindah operasi di Siem Reap ke Lapangan Terbang Antarabangsa SAI mulai 16 Oktober ini

15 Sep 2023 • 11:03 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AirAsia pindah operasi di Siem Reap ke Lapangan Terbang Antarabangsa SAI mulai 16 Oktober ini

zulfadli

15/09/2023 - 11:03

KUALA LUMPUR 15 Sept - Para penumpang AirAsia yang terbang ke Siem Reap, Kemboja bakal merasai pengalaman perjalanan yang lebih lancar pada masa hadapan berikutan pemindahan operasi syarikat penerbangan tersebut ke Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap–Angkor (SAI) bermula 16 Oktober 2023.

Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, setelah ia beroperasi, AirAsia akan menawarkan 16 kaunter daftar masuk di terminal tersebut di barisan C01-C16, menjadikan proses daftar masuk lebih pantas dan lancar.

Katanya, penerbangan AirAsia pertama yang akan mendarat di lapangan terbang baharu tersebut ialah penerbangan AirAsia Malaysia AK542 dan AK540 dari Kuala Lumpur, diikuti penerbangan Thai AirAsia FD610, FD614 dan FD618.

"Para tetamu dalam penerbangan ini akan menerima pemberitahuan sebelum tarikh perlepasan yang dijadualkan mengenai perubahan tersebut.

"Lapangan terbang SAI terletak di Tayek, daerah Soutr Nikom, sekitar 55 kilometer dari ibu kota wilayah Siem Reap.

"Lapangan terbang baharu itu menawarkan kemudahan terkini untuk mengendalikan perkhidmatan pesawat penumpang dan kargo serta menyediakan kapasiti untuk sehingga tujuh juta penumpang pada setiap tahun. Ia juga merancang untuk meningkatkan kapasiti kepada 20 juta penumpang tahunan menjelang 2050," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, bagi kemudahan penumpang, Lapangan Terbang SAI boleh diakses dengan pelbagai pilihan pengangkutan awam seperti bas, kereta sewa dan teksi.

image is not available

Para penumpang AirAsia yang berlepas dari lapangan terbang baharu ini diminta untuk mendaftar masuk secara dalam talian melalui airasia Superapp yang tersedia 14 hari dan sehingga 1 jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan dan mencetak pas masuk mereka di kaunter.

Penumpang dengan bagasi daftar masuk juga dinasihatkan untuk tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu perlepasan yang dijadualkan untuk melancarkan prosedur daftar masuk. - DagangNews.com