AirAsia tempah 150 pesawat Airbus A220 bernilai AS$19 bilion, sasar rangkaian global

LocalBusiness & Finance
7 May 2026 • 9:02 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: AirAsia tempah 150 pesawat Airbus A220 bernilai AS$19 bilion, sasar rangkaian global

KUALA LUMPUR – AirAsia Bhd mengukuhkan dominasinya dalam industri penerbangan menerusi tempahan 150 pesawat Airbus A220 yang membabitkan pelaburan besar mencecah AS$19 bilion (RM90 bilion).

Penasihat AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, penghantaran pertama pesawat canggih itu dijangka tiba selewat-lewatnya pada suku pertama 2028, sekali gus memacu fasa pertumbuhan baharu syarikat.

Fernandes, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, menegaskan bahawa perolehan Airbus A220 adalah langkah strategik untuk menerokai pasaran dan laluan yang selama ini tidak tercapai.

"Airbus A220 akan membuka potensi pasaran dan laluan baharu, sekali gus membawa kami lebih dekat untuk membina rangkaian syarikat penerbangan kos rendah yang pertama di dunia.

"Dengan adanya pesawat berkapasiti 160 tempat duduk ini, ia membolehkan kami meningkatkan margin keuntungan sekitar dua hingga tiga mata peratusan, di samping membina rangkaian yang jauh lebih luas," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut yang disiarkan secara langsung dari Mirabel, Quebec, Kanada.

Beliau menambah, keupayaan teknikal pesawat tersebut amat serasi dengan geografi rantau ini.

"Pesawat ini juga boleh terbang sehingga tujuh jam dan di Asia, ia mempunyai nilai yang sangat tinggi pada kami."

Visi AS$38 Bilion & Model A220-500Dalam nada optimis, Fernandes turut memberi bayangan mengenai pelan pengembangan yang lebih agresif.

Beliau menyatakan minat untuk menggandakan tempahan kepada 300 buah pesawat sekiranya Airbus memperkenalkan varian yang lebih panjang, iaitu A220-500 dengan kapasiti 185 tempat duduk.

"Ini merupakan perjanjian bernilai AS$19 bilion, yang boleh meningkat sehingga AS$38 bilion sekiranya kami dapat memiliki versi yang lebih panjang itu," jelas beliau.

Mengulas mengenai keperluan model tersebut, Fernandes menyifatkan ia sebagai pengganti ideal kepada pesawat A320 sedia ada yang kini menghampiri penghujung jangka hayatnya.

Tindakan AirAsia melakukan pelaburan mega ketika industri masih dalam fasa pemulihan mungkin mengundang persoalan, namun Fernandes menyifatkan ia sebagai "disiplin jangka panjang".

"Orang ramai mungkin tertanya-tanya mengapa kami membeli begitu banyak pesawat semasa krisis terbaru ini, namun krisis merupakan satu peluang untuk membuat keputusan yang berani.

"Kami telah membangunkan AirAsia dengan membuat keputusan yang berani pada saat yang tepat, bukannya pada saat yang paling mudah. Tempahan ini mencerminkan disiplin jangka panjang kami serta skala cita-cita kami," tegasnya.

Perjanjian ini turut memperkukuh kerjasama strategik antara AirAsia dan gergasi aeroangkasa Eropah itu.

“Kerjasama kami dengan Airbus telah menjangkau lebih dua dekad dan menjadi tunjang kepada segala pencapaian kami. Hari ini merupakan satu lagi mercu tanda dalam perjalanan itu dan banyak lagi yang akan menyusul pada masa hadapan.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Pesawat Komersial Airbus, Lars Wagner mengesahkan perjanjian bersejarah itu menyaksikan model A220 kini secara rasmi melepasi angka 1,100 tempahan di peringkat global.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Perdana Menteri Kanada, Mark Carney. - 7 Mei, 2026

The post AirAsia tempah 150 pesawat Airbus A220 bernilai AS$19 bilion, sasar rangkaian global appeared first on Scoop.