Singapore Airlines Tawarkan Internet Starlink Kepada Penumpang Bermula 2027

WorldTechnology
4 May 2026 • 3:43 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Singapore Airlines (SIA) menjadi sebuah lagi syarikat penerbangan yang akan menawarkan perkhidmatan internet Starlink kepada penumpang. Perkhidmatan akan bermula pada suku pertama 2027 dengan ia dijadualkan siap sepenuhnya menjelang 2029.

Image from: Singapore Airlines Tawarkan Internet Starlink Kepada Penumpang Bermula 2027

SIA berkata pesawat Airbus A350‑900 Long-Haul (LH), Airbus A350‑900 Ultra-Long-Range (ULR) dan Airbus A380 akan dilengkapi antena Starlink yang menyokong internet pada kelajuan sehingga 1 Gbps. Kelak penumpang boleh melakukan kerja, penstriman video, menikmati permainan video dan menggunakan media sosial dengan lebih lancar menerusi internet pantas.

Internet Starlink akan ditawarkan ke semua kelas kabin dengan ia percuma tanpa had untuk penumpang kelas Suites, kelas pertama, kelas perniagaan, PPS Club dan KrisFlyer.

SIA mengikuti langkah Emirates, Qatar Airways, United Airlines, British Airways Aer Lingus, Iberia dan Vueling yang juga menggunakan Starlink. Pada waktu yang sama pesaing Starlink, Amazon Leo juga menawarkan perkhidmatan internet satelit untuk pesawat penumpang Delta bermula 2028.