Airbus lanjut kontrak perkhidmatan satelit X-band dengan Mindef hingga 2029

21/05/2025 - 17:09
Naib Presiden Kanan Jualan Sistem Angkasa di Airbus ISAE-SUPAERO, Airbus Defence & Space (kiri), Stephane Vesal, menyampaikan cenderamata kepada Ketua Pengarah Pertahanan Siber Elektromagnetik (kanan), Laksamana Muda Fadhil bin Abdul Rahman sebagai simbol meraikan sedekad kerjasama antara Airbus dan Malaysia dalam bidang komunikasi selamat. Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 21 Mei – Airbus Defence dan Space memeterai perjanjian lanjutan dengan Kementerian Pertahanan (Mindef) bagi membolehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menggunakan perkhidmatan satelit X-band sehingga 2029.
Kontrak yang diumumkan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA 2025) itu menunjukkan komitmen Airbus dalam menyokong infrastruktur komunikasi pertahanan negara merentasi darat, laut, dan udara.
Ketua Airbus Defence dan Space Asia Pasifik, Zakir Hamid berkata, perkhidmatan satelit X-band telah menjadi komponen utama dalam rangka komunikasi strategik Malaysia sejak 2014.
"Dalam persekitaran keselamatan yang semakin kompleks dan saling berkait, komunikasi satelit ketenteraan yang boleh dipercayai adalah penting untuk arahan dan kawalan yang selamat, kesedaran situasi masa nyata serta membuat keputusan yang berkesan.
"Kerjasama itu bermula dengan pelancaran satelit Measat-3b oleh Airbus pada 2014.
"Satelit itu dimiliki dan dikendalikan oleh Measat, dan kekal menjadi asas kerjasama strategik antara kedua-dua pihak," katanya dalam satu kenyataan.
Airbus berkata, kontrak baharu itu turut merangkumi program kerjasama industri bagi mengukuhkan kerjasama antara syarikat dan ekosistem teknologi pertahanan serta angkasa tempatan.
"Kami akan bekerjasama rapat dengan rakan tempatan untuk berkongsi kepakaran, membina keupayaan, dan menyokong pembangunan jangka panjang keupayaan satelit serta peperangan elektronik negara," katanya.
Airbus sebelum ini pernah dipilih Measat pada 2019 untuk membina satelit Measat-3d yang dilancarkan pada Jun 2022 bagi menyokong perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia, Asia, Asia Barat, dan Afrika.- DagangNews.com
standard

