Airbus Umum Beri Setiap Pekerjanya Duit “One-off” Lebih RM 7 Ribu, Bantuan Untuk Hadapi Inflasi

WorldBusiness & Finance
26 Oct 2022 • 7:10 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Airbus Umum Beri Setiap Pekerjanya Duit RM 7 Ribu, Bantuan Untuk Hadapi Inflasi

Syarikat pengeluar pesawat berpangkalan di Eropah, Airbus Isnin lalu mengumumkan pihaknya akan memberikan bayaran sebanyak RM7,113 secara one-off kepada semua pekerjanya di empat negara iaitu United Kingdom (UK), Perancis, Jerman dan Sepanyol. Bayaran berkenaan diberikan sebagai bantuan untuk membantu para pekerjanya berdepan dengan tekanan inflasi yang melanda dunia ketika ini.

Memetik AFP, Jawatankuasa Eksekutif Airbus berkata bayaran tersebut akan dibuat bermula sebelum akhir tahun 2022 dan diberikan kepada semua pekerja termasuk pengurus kanan.

Manakala kakitangannya yang berkhidmat diluar daripada empat negara yang dinyatakan di atas pula akan menerima bantuan yang sama, tetapi nilai bergantung kepada peratusan daripada purata gaji asas tempatan.

“Ketidaktentuan, ketidakpastian, kerumitan dan kekaburan situasi semasa bertambah buruk sejak beberapa bulan lalu disebabkan krisis tenaga dan inflasi.

“Fenomena kenaikan harga yang meluas telah memberikan beban kewangan yang berat dan (secara) langsung kepada ekonomi kebanyakan negara dan syarikat. Realiti ini juga perlu dihadapi para pekerja Airbus,” kata Airbus dalam mesej yang dihantar kepada para pekerjanya.

Setakat hujung tahun lepas, Airbus dilaporkan mempunyai seramai 126,000 kakitangan di seluruh dunia, termasuk 46,000 orang di Perancis dan 43,000 orang di Jerman.

Sumber: AFP, Barrons