PENYANYI dan komposer, Aisha Retno diumumkan sebagai salah seorang pelakon utama yang bakal membawakan watak Gusti Putri Retno Dumilah dalam pementasan Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang (PGLM) 2026.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi hantaran di akaun Instagram rasmi PGLM, @pglthemusical, pada tengah hari Sabtu sekali gus menjawab teka-teki yang dinantikan peminat teater berkenaan.
Menurut kenyataan dimuat naik, pihak produksi mahu memastikan legasi Puteri Gunung Ledang terus relevan untuk generasi baharu menerusi pendekatan berbeza bagi pementasan terbaharu itu.
“Buat pertama kali, dua puteri dan dua Bayan akan menghidupkan dunia Puteri Gunung Ledang.
“Keputusan ini dibuat dengan penuh teliti dan kasih sayang demi memastikan kesinambungan watak ikonik ini terus hidup dalam hati penonton,” menurut kenyataan itu.
Produksi berkenaan turut menyifatkan Aisha sebagai seorang artis yang memiliki suara penuh penghayatan serta aura lembut tetapi kuat untuk menggalas watak legenda tersebut.
Pada masa sama, pihak produksi memaklumkan seorang lagi pelakon yang akan membawa watak Gusti Putri Retno Dumilah dijadual diumumkan pada jam 6 petang hari sama.
Sebelum ini, Mimi Fly dan Nadia Aqilah diumumkan memegang watak Bayan, manakala Luqman Hafidz diberi kepercayaan membawa watak Sultan Melaka dan Yusuf Hashim sebagai Gusti Adipati.
PGLM 2026 tampil dengan kelainan apabila memperkenalkan dua pelakon bagi watak Puteri Gunung Ledang serta dua pemegang watak Bayan.
