Ajak Orang Ramai Baca Qunut Nazilah Untuk Laknat PM Bukan Ajaran Islam - Menteri

LocalPolitics
13 Jul 2024 • 8:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Mohd Na’im Mokhtar - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Ajakan di media sosial agar orang ramai membacakan Qunut Nazilah dan berdoa agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditimpa musibah tidak seharusnya berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perbuatan itu jelas melanggar ajaran Islam dan tidak mencerminkan peribadi seorang muslim.

Justeru tegas beliau, laporan akan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) berhubung hantaran berkenaan yang dimuat naik di sebuah akaun TikTok. 

“Kami menyerahkan kepada MCMC untuk menyiasat dan menilai kandungan hantaran tersebut, (dan) seterusnya memutuskan tindakan yang bersesuaian,” katanya seperti dilaporkan BERNAMA. 

Mohd Na’im menyatakan demikian pada sidang media selepas merasmikan program Jelajah Madani Ulama dan Umara Peringkat Zon Utara di Ipoh, Perak hari ini.

Jelas beliau, Islam sebagai agama yang penuh tertib menyuruh umatnya menzahirkan pandangan dengan cara beradab melalui saluran, jika terdapat perbezaan pandangan atau pendapat.

"Mengadakan doa supaya pemimpin-pemimpin dilaknat itu bukan ajaran agama kita. Nabi Muhammad SAW mengajar berkasih sayang dan sekiranya (ada) beza pandangan apatah lagi dengan pemimpin yang seagama dengan kita, sepatutnya kita zahirkan biarlah dengan adab dan cara yang betul," katanya.

Terdahulu, sebuah akaun TikTok dikesan memuat naik video yang memperdengarkan Qunut Nazilah berserta teks.

Antara lain video terbabit memohon bala dan laknat ditimpakan ke atas Perdana Menteri, barisan menteri kabinet dan penyokongnya. - Getaran, 13 Julai 2024