Ajal Ketika Menjala: Kanak-Kanak 12 Tahun Maut Dibaham Buaya

LocalEnvironment
18 Sep 2025 • 2:46 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar JBPM Sarawak

KUCHING - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut dipercayai dibaham buaya di Kampung Empila, Kota Samarahan kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar raya di sini hari ini.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mayat kanak-kanak itu dijumpai kira-kira 10 meter dari tempat terakhir mangsa dilihat.

PGO JBPM menerima panggilan mengenai kejadian pada 7.53 pagi tadi dan menurut saksi, sebelum kejadian mangsa yang berada di atas perahu dipercayai sedang memasang jala.

"Saksi kemudian mendengar mangsa menjerit dan apabila melihat ke arah lokasi suara tersebut mendapati mangsa telah hilang. Saksi terus ke lokasi dan membuat pencarian awal sebelum menghubungi talian kecemasan.

"Mangsa berjaya dijumpai pihak bomba pada 9.50 pagi dan mengalami kecederaan pada bahagian dada. Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," menurut kenyataan itu. - BERNAMA