Banjir Sabah: 1 Maut, Ribuan Terputus Bekalan Air 

13 Sep 2025 • 9:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar Info Banjir Sabah

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki berusia 97 tahun maut selepas rumahnya di Kampung Sarapung, Penampang, Sabah dihanyutkan tanah runtuh berikutan hujan berterusan yang menyebabkan banjir di Sabah sejak awal minggu ini.

Bencana itu turut memaksa ratusan penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan mengakibatkan ribuan lagi terputus bekalan air apabila beberapa loji rawatan dihentikan operasi di daerah terjejas.

Loji Rawatan Air Kasigui di Penampang antara yang ditutup selepas Sungai Moyog dipenuhi lumpur dan sisa kayu sehingga tahap kekeruhan melebihi paras selamat.

Penutupan tersebut menjejaskan bekalan air ke seluruh Penampang dan sebahagian kawasan Putatan, menyebabkan penduduk berdepan paip kering meskipun rumah mereka tidak dilanda banjir. 

Jabatan Air menghantar lori tangki untuk agihan air, namun bekalan tidak konsisten dan memaksa penduduk beratur panjang.

Loji Kasigui yang mula beroperasi sejak 1958 sering mengalami gangguan ketika musim hujan lebat. Walaupun kapasiti ditingkatkan beberapa kali termasuk dengan pembinaan loji baharu pada Jun lalu, masalah sama terus berulang setiap kali Sungai Moyog melimpah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Darell Leiking ketika dihubungi menyifatkan penutupan loji itu sebagai isu berulang dan mendesak kerajaan menyediakan sumber alternatif. 

“Kalau setiap kali banjir Kasigui tutup, di mana sumber gantian? Ini bukan perkara baharu,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Putatan, Jeffrey Nor, menegaskan keperluan menaik taraf atau menggantikan loji lama serta mencadangkan penswastaan operasi supaya penyelenggaraan lebih terjamin.

“Kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ini telah menyalurkan dana besar untuk mengatasi masalah air di Sabah, termasuk pinjaman lembut RM320 juta daripada Putrajaya pada 2023 dan peruntukan tambahan RM523.5 juta dalam Bajet Tambahan Julai lalu,” katanya. 

Bagaimanapun menurutnya, masih banyak projek yang berada dalam pembinaan.

Setakat pagi Sabtu, seramai 434 mangsa ditempatkan di PPS iaitu 228 di Penampang, 147 di Beaufort dan 59 di Tawau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengisytiharkan banjir berkenaan sebagai bencana negeri dan mengarahkan semua agensi memberi tumpuan kepada kawasan paling terjejas. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dimaklumkan mengenai keadaan semasa.

Menteri Kerja Raya merangkap Exco Air, Datuk Shahelmey Yahya, masih belum mengesahkan jumlah loji yang ditutup dan status kerja-kerja naik taraf setakat ini. - Getaran, 13 September 2025