Ajal pulang dari kerja, pemuda maut motosikal langgar lembu

21 May 2026 • 11:06 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ajal pulang dari kerja, pemuda maut motosikal langgar lembu
Akibat kemalangan itu, mangsa berusia lingkungan 20 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Image from: Ajal pulang dari kerja, pemuda maut motosikal langgar lembu
Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan najis lembu serta kesan geseran di atas jalan di laluan motosikal mangsa.

TAPAH – Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai melanggar seekor lembu dalam kemalangan di Kilometer 12, Jalan Tapah–Changkat Petai di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu melibatkan mangsa lelaki berusia lingkungan 20 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal bersendirian sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke kediamannya di Sungai Manik ketika kejadian berlaku.

“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan najis lembu serta kesan geseran di atas jalan di laluan motosikal mangsa.

"Turut ditemui kesan kerosakan teruk pada bahagian hadapan motosikal, dipercayai akibat pelanggaran sebelum mangsa terbabas," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, setakat ini, tiada kesan penglibatan kenderaan lain dikesan di tempat kejadian.

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Tapah di talian 05-4011222 atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Faizan Ahmad @ Mohammed Razikin di talian 013-2087819.