Ajal selepas berbuka puasa

21 Apr 2023 • 9:13 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan di lokasi kemalangan penunggang motosikal di kilometer 34 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, di sini.

HULU SELANGOR - Hasrat seorang remaja lelaki menghantar telefon bimbitnya untuk dibaiki selepas berbuka puasa tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di kilometer 34 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, dalam kejadian jam 8.10 malam itu, mangsa berusia 16 tahun dalam perjalanan dari rumahnya di Antara Gapi menuju ke sebuah kedai membaiki telefon bimbit di Rawang.

"Setibanya di lokasi, penunggang motosikal Yamaha Y15ZR itu dipercayai terbabas sendiri di garisan tengah.

"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ahmad Faizal berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu diminta tampil untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.