Ajinomoto isytihar dividen 9.1 sen, umum pelantikan Riichiro Osawa sebagai MD baharu

Business & Finance
28 Jun 2023 • 11:42 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ajinomoto isytihar dividen 9.1 sen, umum pelantikan Riichiro Osawa sebagai MD baharu

johardy

28/06/2023 - 11:42

KUALA LUMPUR 28 Jun - Ajinomoto (Malaysia) Bhd mengumumkan dividen pertama dan terakhirnya sebanyak 9.1 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY2023), yang akan dibayar pada 25 September ini.

Menurut maklumannya di Bursa Malaysia, tarikh ex-date dividen itu jatuh pada 29 Ogos dan tarikh kelayakan adalah pada 30 Ogos.

Jumlah itu lebih tinggi sedikit daripada dividen pertama dan terakhir sebanyak 8.5 sen sesaham yang dibayar pada FY2022.

Bagaimanapun, ia lebih rendah daripada dividen pertama dan terakhir sebanyak 38.25 sen sesaham yang dibayar pada FY2021. Jumlah pembayaran dividen tertingginya ialah RM1.55 sesaham pada FY2017.

image is not available
Riichiro Osawa

Sementara itu, dalam makluman berasingan, Ajinomoto berkata ia telah melantik Riichiro Osawa sebagai pengarah urusan/ketua pegawai eksekutif, berkuat kuasa 1 Julai ini.

Ini susulan pengarah urusan sedia ada Tomoharu Abe telah ditugaskan semula ke jawatan lain oleh Ajinomoto Co Inc, Jepun.

Osawa, 52, menyertai Ajinomoto Co Inc, Jepun pada 1995 dan memulakan kerjayanya di cawangan Tokyo.

Beliau telah memegang pelbagai jawatan di Jepun dan luar negara dalam Kumpulan Syarikat Ajinomoto.

Beliau memegang ijazah dalam Pengajian Bahasa dan Budaya Cina dari Universiti Pengajian Asing Tokyo, menurut makluman di Bursa Malaysia. - DagangNews.com