Gamuda catat untung bersih RM223 juta pada 3QFY23, isytihar dividen interim 6 sen sesaham

Business & Finance
22 Jun 2023 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gamuda catat untung bersih RM223 juta pada 3QFY23, isytihar dividen interim 6 sen sesaham

diyana

22/06/2023 - 18:15

KUALA LUMPUR 22 Jun - Keuntungan bersih Gamuda Berhad meningkat sedikit 0.8% kepada RM223 juta dalam suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023 (3QFY23) daripada RM221 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Pendapatan kumpulan bagi suku berakhir 30 April 2023 itu pula melonjak 81% kepada RM2.07 bilion berbanding RM1.14 bilion sebelumnya.

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan pula meningkat kepada 8.4 sen pada suku semasa daripada 7.92 sen.

Kumpulan itu turut mengisytiharkan dividen interim kedua pada 6 sen sesaham yang akan dimaklumkan tarikh pembayarannya kelak.

Secara kumulatif, kumpulan itu telah mencatat keuntungan bersih sebanyak RM1.59 bilion pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), melonjak 188% daripada RM551 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Sementara itu, pendapatan 9MFY23 meningkat 58% kepada RM4.8 bilion berbanding RM3.05 bilion sebelumnya.

Kumpulan itu berkata lonjakan pendapatan daripada operasinya di luar negara itu meningkat mendadak dalam tempoh sembilan bulan tersebut kepada RM2.1 bilion berbanding RM333 juta tahun sebelumnya berikutan projek di Australia dan Taiwan meningkat dengan pesat.

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Gamuda menjangkakan prestasi tahun ini dipacu oleh aktiviti pembinaan di luar negara memandangkan projek di Australia dan Taiwan terus maju dengan pesat dan jualan hartanah berikutan pelupusan operasi lebuh raya bertol pada suku pertama tahun ini.

“Melangkah ke hadapan, daya tahan kumpulan disokong oleh buku pesanan pembinaan yang berjumlah RM20 bilion, termasuk rangsangan buku pesanan AU$2 bilion daripada pengambilalihan projek pengangkutan Downer di Australia, dan jualan hartanah tidak dibilkan sebanyak RM5.7 bilion.

“Selain itu, kunci kira-kira kumpulan sihat dengan penggearan bersih hampir sifar,” katanya dalam laporan kewangan 3QFY23 itu.

Dalam makluman berasingan, Gamuda mengumumkan bahawa lembaga pengarah telah meluluskan pembaharuan kontrak Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Lin Yun Ling selama lima tahun lagi dari 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2028.

Saham Gamuda ditutup pada RM4.25 hari ini, menokok 3 sen atau 0.7% dengan modal pasaran berjumlah RM11.3 bilion. - DagangNews.com