KUALA LUMPUR 13 Ogos - Ajinomoto Co., Inc. (AJICO) mempertahankan cadangan RM20 sesaham untuk menswastakan Ajinomoto (Malaysia) Bhd (AMB), sambil menolak dakwaan bahawa tawaran itu menilai syarikat berkenaan terlalu rendah atau merupakan tawaran oportunistik secara ‘lowball’ (terlalu rendah).
Dalam kenyataan yang ditandatangani oleh Pegawai Eksekutif dan Naib Presiden AJICO, Eiichi Mizutani, AJICO berkata, harga tawaran menerusi cadangan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik (SCR) itu merupakan penilaian munasabah yang mencerminkan nilai perniagaan serta prestasi dagangan pasaran AMB sebelum ini.
AJICO memberi penjelasan itu di Bursa Malaysia hari ini sebagai reaksi terhadap artikel The Edge Malaysia pada 7 Julai lalu yang mempersoalkan sama ada cadangan SCR tersebut mencerminkan nilai AMB dengan sewajarnya, berdasarkan gandaan nilai perusahaan kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EV/EBITDA) syarikat barangan pengguna serta laporan penganalisis bebas yang menilai AMB pada RM26.20 sesaham.
AJICO berkata, perbandingan secara langsung antara AMB dan Nestle (Malaysia) Bhd tidak sesuai kerana Nestle Malaysia beroperasi pada skala yang jauh lebih besar, mempunyai kedudukan pasaran lebih kukuh, profil pendapatan lebih stabil dan permodalan pasaran yang jauh lebih tinggi.
Purata gandaan EV/EBITDA AMB dalam tempoh setahun sebelum cadangan SCR diumumkan pada 22 Jun adalah kira-kira 4.26 kali, manakala tawaran RM20 sesaham mencerminkan gandaan kira-kira 8.05 kali, iaitu sekitar 89% lebih tinggi daripada purata sejarahnya.
AJICO persoal penilaian penganalisis
AJICO turut mempertikaikan perbandingan antara nisbah harga kepada pendapatan (P/E) tersirat AMB sebanyak 16.9 kali berdasarkan harga tawaran dengan P/E AJICO sebanyak 44.4 kali, berikutan perbezaan ketara dari segi skala, komposisi perniagaan, asas pendapatan dan profil pertumbuhan kedua-dua syarikat.
Menurutnya, AJICO ialah syarikat makanan dan bioteknologi global dengan jangkaan pasaran yang kukuh terhadap perniagaan bahan berfungsinya berkaitan industri semikonduktor, manakala AMB terutamanya merupakan pengeluar bahan perasa yang beroperasi terutamanya di Malaysia dengan permodalan pasaran kurang daripada 1% permodalan pasaran syarikat induknya.
AJICO turut mempersoalkan penggunaan empat syarikat setara dalam laporan penganalisis itu untuk memperoleh julat penilaian P/E kira-kira 18 hingga 25 kali kerana kesemuanya jauh lebih besar daripada AMB serta mempunyai portfolio perniagaan yang lebih luas dan pelbagai.
Sebagai perbandingan, purata P/E AMB dalam tempoh setahun sebelum pengumuman pada 22 Jun adalah kira-kira 11.35 kali.
AJICO juga mempersoalkan analisis transaksi setara dalam laporan itu apabila tiga daripada lima syarikat yang digunakan sebagai rujukan masih disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia setakat 13 Ogos, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada transaksi tersebut sesuai dijadikan perbandingan bagi urus niaga penswastaan seperti cadangan SCR itu.
Tawaran RM20 beri ‘premium bermakna’
AJICO berkata, tawaran RM20 sesaham ditentukan atas dasar ia memberikan pemegang saham AMB selain AJICO suatu “premium bermakna” dan bukan bertujuan mengambil kesempatan atau memperoleh saham AMB pada harga yang tidak adil.
Menurutnya, pemegang saham yang tidak berkepentingan perlu mempertimbangkan keseluruhan maklumat berkaitan dan tidak hanya bergantung kepada laporan media tertentu atau analisis pihak ketiga sebelum membuat keputusan mengenai cadangan SCR tersebut. - DagangNews.com

