AJK Pemuda PKR Selayang Letak Jawatan Beramai-ramai, Tak Puas Hati Dengan Keputusan Pemilihan Parti?

LocalPolitics
24 Jun 2025 • 10:12 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Kekalahan Datuk Seri Rafizi Ramli kepada Nurul Izzah Anwar dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat bagi jawatan Timbalan Presiden pada bulan lalu telah meraih perhatian ramai.

Semasa pengumuman keputusan rasmi dibuat di Pusat Kovensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru pada 23 Mei lalu itu, Nurul Izzah meraih sebanyak 9,803 undi manakalan Rafizi pula hanya 3,866 undi.

Kekalahan teruk Rafizi juga membawa kepada peletakan jawatan Ahli Parlimen Pandan itu sebagai Menteri Ekonomi.

AJK Pemuda PKR Selayang letak jawatan beramai-ramai

Terbaharu, Pemuda PKR (AMK) Cabang Selayang pula menyaksikan peletakan jawatan secara besar-besaran yang boleh membawa kepada pembubarannya.

Timbalan Ketua Pemuda, Muhammad Amir Sahmat dan Naib Ketua, Lee Fook Onn antara 14 ahli jawatankuasa (AJK) parti itu yang meletak jawatan.

Difahamkan, peletakan jawatan itu kerana mereka tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan parti terbabit.

Fenomena ‘badan tanpa kepala’

Tindakan itu mungkin mencerminkan fenomena ‘badan tanpa kepala’ dalam pemilihan PKR, yang disentuh beberapa kali oleh Rafizi Ramli yang gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden.

Amir mengesahkan peletakan jawatan itu susulan dakwaan ketidaktelusan proses pemilihan yang menyaksikan kemenangan Ketua Pemuda Cabang Selayang, Tamilarasu Thamil Kalai mengatasi Dinesh Selvarajoo.

“Kami telah mengadakan perbincangan secara kolektif dan mengambil keputusan ini dengan penuh tanggungjawab,” kata Amir dipetik Malaysiakini.

Menurutnya, selain menandatangani surat peletakan jawatan bertarikh 5 Mei, mereka juga menyediakan akaun berkanun (SD) menyatakan ketidakpercayaaan terhadap kepimpinan Tamilarasu.

Jelasnya, pada awalnya kesemua 17 AJK menghantar surat peletakan jawatan tetapi tiga orang menarik balik susulan permintaan kepimpinan pusat.

Peletakan jawatan itu juga dimaklumkan kepada pemimpin Setiausaha Pemuda Omar Mokhtar dan Setiausaha Agung Fuziah Salleh melalui surat pada 7 Mei, 4 Jun dan 18 Jun.

Peletakan jawatan melebihi dua pertiga daripada keseluruhan AJK

Mengikut kandungan surat yang dikongsi kepada Malaysiakini, peletakan jawatan itu melebihi dua pertiga daripada keseluruhan AJK dan harus digantung atau dibubarkan berdasarkan Fasal 32.4 Perlembagaan PKR.

Kata mereka, Fasal 15.11 pula berkata jawatankuasa cabang tersebut akan dibubar dengan sendiri dan mesyuarat khas cabang perlu diadakan dalam tempoh 30 hari.

Difahamkan, surat itu turut dipanjangkan kepada Ketua Pemuda Muhammad Kamil Abdul Munim dan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Dakwa ada usaha cuba pujuk ahli yang letak jawatan

Amir bagaimanapun mendedahkan terdapat usaha dari pihak pimpinan pemuda pusat untuk cuba memujuk ahli yang meletakkan jawatan untuk menarik semula surat peletakan jawatan.

“Tindakan ini jelas tidak mengendahkan hasrat akar umbi jawatankuasa Pemuda cabang Selayang yang mahukan agar mesyuarat agung segera dibuat bagi penubuhan Jawatankuasa Penaja Pemuda cabang Selayang.

“Suara kepimpinan akar umbi perlu untuk didengar dan diterima oleh pimpinan pusat dan bukannya bertindak untuk tidak mengendahkan permintaan mereka.

“Tindakan pimpinan pemuda pusat ini jelas bertentangan dengan peraturan dan perlembagaan PKR,” katanya.

Setiausaha Agung PKR tolak dakwaan sayap Pemuda PKR Selayang dibubarkan

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh pula menafikan sayap Pemuda PKR Selayang dibubarkan.

Memetik FMT, Fuziah menjelaskan bahawa sekurang-kurangnya dua pertiga atau 18 daripada 26 ahli jawatankuasa mesti meletakkan jawatan untuk sayap itu dianggap terbubar.

“Jumlah ahli yang dipilih ialah 18, dan tambahan lapan boleh dilantik, menjadikan maksimum 26. Untuk memenuhi ambang dua pertiga, sekurang-kurangnya 18 ahli mesti meletakkan jawatan.

“Mula-mula, 17 meletak jawatan, kemudian tiga menarik diri, diikuti seorang lagi. Angka terkini mereka yang meletak jawatan ialah 13,” ujar Fuziah.

Source: