
Kota Kinabalu: Akademi Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya dalam satu majlis yang diadakan di padang latihan Safa pada Sabtu.
Akademi itu akan melibatkan pelatih di bawah umur 12, 14 dan 16 tahun yang akan dilatih oleh jurulatih bertauliah diketuai Omar Maya Amat.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata matlamat utama penubuhan akademi itu adalah untuk membangunkan sukan itu dan mencungkil bakat mentah di negeri ini.
“Pada tahun ini, kita akan mengembangkannya secara berperingkat ke semua lapan zon di seluruh negeri. Program pembangunan bola sepak yang menyusul memberi kita harapan untuk melihat lebih ramai bakat dilahirkan,” katanya.
Tambahnya, akademi itu juga akan memainkan peranan untuk melahirkan jurulatih bola sepak.
“Akademi juga akan membantu melatih bekas pemain negeri dan mereka yang berminat dalam kejurulatihan bola sepak. Terdapat potensi untuk melahirkan jurulatih berkualiti dan menjadikan kejurulatihan sebagai kerjaya mereka,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru peminat untuk meneruskan sokongan kepada Sabah FC.
“Sabah FC menunjukkan prestasi yang baik setakat ini dalam liga. Saya harap momentum itu akan berterusan dan saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru semua rakyat Sabah untuk memberikan sokongan kepada pasukan,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



