
Bagi golongan muda yang baru memasuki alam pekerjaan, tawaran kerja pertama boleh menjadi titik penting dalam menentukan hala tuju masa depan. Namun, tanggungjawab majikan tidak seharusnya berakhir selepas seseorang diterima bekerja.
Golongan muda turut memerlukan latihan, bimbingan, perlindungan serta peluang untuk meningkatkan kemahiran. Tanpa semua ini, pekerjaan pertama mungkin memberikan pengalaman, tetapi belum tentu menyediakan asas kepada kerjaya jangka panjang.
Keperluan menghubungkan graduan TVET dengan peluang kerjaya yang lebih sesuai turut mendapat perhatian kerajaan dan industri. Pelancaran platform Graduate Industry TVET Coordination pada Mei lalu, misalnya, bertujuan memadankan graduan dengan syarikat serta peluang pekerjaan yang bersesuaian, di samping mengurangkan ketidakpadanan antara kemahiran dan keperluan industri.
Dalam usaha membangunkan tenaga kerja tempatan, majikan bukan sahaja perlu membuka peluang kepada graduan TVET, tetapi turut membantu memastikan kemahiran yang dibina benar-benar relevan dengan keperluan industri dan menyediakan ruang untuk mereka terus berkembang.
Belajar sambil membina kerjaya
Dalam konteks ini, model latihan yang menggabungkan pembelajaran formal dengan pengalaman sebenar di tempat kerja menjadi semakin penting. Ia membolehkan industri bukan sahaja mengambil pekerja, tetapi turut memainkan peranan dalam membentuk kemahiran dan menyediakan laluan perkembangan yang lebih jelas.
Pendekatan inilah yang diterapkan melalui Akademi Vokasional McDonald’s, yang berasaskan model Akademi Dalam Industri (ADI), menerusi program selama 18 bulan yang menggabungkan 30 peratus pembelajaran di dalam kelas dengan 70 peratus latihan praktikal di restoran.
Latihan merangkumi operasi restoran, keselamatan makanan, khidmat pelanggan dan asas pengurusan. Pelajar turut berpeluang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 melalui program yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Sejak ditubuhkan pada 2018, Akademi Vokasional McDonald’s telah melahirkan lebih 5,000 graduan.
Pengajar Akademi Vokasional McDonald’s, Shaifullizad Md Taib, berkata latihan tersebut bukan sekadar membantu pelajar melaksanakan tugasan, tetapi juga membina keyakinan dan keupayaan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar.
“Melalui bimbingan berterusan, pelajar belajar menyelesaikan masalah, bekerja dalam pasukan dan membina keyakinan.
“Apabila pelajar mula membimbing rakan sekerja dan mengurus tugasan syif, di situlah kami nampak perubahan sebenar,” katanya.
Sokongan untuk terus belajar
Pelajar turut menerima sokongan sepanjang tempoh latihan, termasuk elaun bulanan sehingga RM1,700, caruman KWSP dan PERKESO, makanan semasa syif, perlindungan perubatan dan insurans serta kemudahan penginapan di lokasi terpilih. Sokongan ini membantu mengurangkan kekangan yang boleh mengganggu pembelajaran, sekali gus membolehkan pelajar memberi tumpuan kepada latihan dan pembangunan diri.
Sokongan tersebut membantu mengurangkan kekangan yang boleh mengganggu pembelajaran, sekali gus membolehkan pelajar memberikan tumpuan kepada latihan dan pembangunan diri.
Bimbingan yang memenuhi keperluan industri
Penolong Pengarah, Unit Dasar dan Perancangan TVET, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, Mohammed Zhafri Faiq Zainal, berkata majikan kini memerlukan graduan yang bukan sahaja kompeten dari segi kemahiran, malah mampu menyesuaikan diri dengan dunia pekerjaan.
“Majikan menghargai nilai integriti, daya tahan, kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, potensi kepimpinan serta keupayaan menyelesaikan masalah sebenar,” katanya.
Menurutnya, latihan berasaskan tempat kerja membolehkan pelajar mengaplikasikan teori, memahami budaya kerja dan menerima bimbingan langsung daripada pihak industri.
Pendekatan ini membantu merapatkan jurang antara pembelajaran dan kehendak majikan, di samping mempersiapkan pelajar untuk menggalas tanggungjawab sebenar.
Pengiktirafan terhadap kompetensi
Wakil JPK berkata bahawa pembabitan industri membantu memastikan latihan kekal relevan dengan keperluan pasaran kerja.
“Kelayakan seperti SKM membuktikan bahawa seseorang sudah mencapai tahap kompetensi yang merangkumi pengetahuan, kemahiran praktikal, dan etika kerja.
“Pengiktirafan ini meningkatkan kebolehpasaran serta membuka laluan kepada perkembangan kerjaya dan pendidikan pada tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Program yang diterajui oleh majikan juga perlu memenuhi Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan, menyediakan tenaga pengajar yang bertauliah, dan melaksanakan penilaian kompetensi yang menyeluruh.
Ini memastikan pengalaman di tempat kerja diterjemahkan kepada kelayakan yang diiktiraf dan boleh dibawa ke hadapan.
Ruang untuk terus berkembang
Menurut Dato’ Haji Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, tanggungjawab majikan tidak seharusnya berakhir selepas menawarkan pekerjaan pertama.
“Golongan muda tidak seharusnya ditawarkan pekerjaan yang hanya memenuhi keperluan seketika. Mereka perlu diberi peluang untuk belajar, memperoleh pendapatan dan membina keyakinan untuk terus maju.
“Tanggungjawab kami sebagai majikan adalah menyediakan laluan yang membolehkan mereka melihat sejauh mana pekerjaan pertama boleh membawa mereka,” katanya.
Graduan boleh berkembang daripada kru kepada ketua kru, ketua syif, penolong pengurus restoran dan pengurus restoran berdasarkan kemahiran, prestasi dan kompetensi.
Sekitar 80 peratus graduan meneruskan kerjaya bersama McDonald’s Malaysia, manakala lebih 250 graduan telah melangkah ke jawatan penyeliaan dan pengurusan.
Apabila pekerjaan pertama menyediakan kemahiran, pengiktirafan dan ruang untuk berkembang, ia boleh menjadi asas kepada kerjaya serta masa depan yang lebih kukuh. – UTUSAN
The post Akademi Vokasional McDonald’s hubungkan latihan industri dengan masa depan kerjaya appeared first on Utusan Malaysia.



