
KEJAYAAN seseorang graduan bukan sekadar diukur melalui segulung sijil, malah kemampuan mengaplikasikan ilmu, kemahiran dan nilai profesional dalam dunia pekerjaan.
Itu apa dibuktikan Syed Aidil Qayyim Syed Affandi, 25, bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu membuka laluan kerjaya yang cemerlang kepada golongan muda sepertinya.
Syed Aidil merupakan alumni Sijil Teknologi Kimpalan dari Kolej Teknologi Tinggi Jabatan Tenaga Manusia (Adtec JTM), Kampus Kuala Lumpur dan Diploma Pengurusan Kimpalan di Adtec JTM Kampus Kemaman, Terengganu.
Gabungan kedua-dua kelayakan tersebut telah memberikan asas pengetahuan dan kemahiran yang kukuh buatnya menembusi industri berimpak tinggi.
Menurutnya, pengalaman ketika mengikuti latihan amali di Adtec JTM menjadi bekalan penting ketika memasuki alam pekerjaan sebenar.
Menamatkan pengajian pada tahun 2023, dia yang mesra disapa Syed Aidil tidak menunggu lama untuk melangkah ke alam pekerjaan.

Kesungguhan dan persediaan yang rapi membolehkannya memperoleh peluang kerjaya dalam sektor minyak dan gas yang terkenal dengan standard kerja yang tinggi.
“Kini saya berkhidmat di Energy Workforce Group Sdn. Bhd. sebagai Non-Destructive Testing (NDT) Inspector merangkap Abseiling Technician.
“Kerjaya ini memerlukan tahap kemahiran teknikal, disiplin dan ketahanan fizikal yang tinggi.
“Sebagai seorang NDT Inspector, tugas saya menjalankan pemeriksaan tanpa memusnahkan komponen bagi memastikan struktur, sambungan kimpalan dan peralatan industri berada dalam keadaan selamat untuk digunakan,” kata Syed Aidil Qayyim bersama K-Kampus.

Menurutnya, bidang tersebut memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan operasi industri.
Tidak setakat itu, kerjayanya juga merupakan bidang dalam persekitaran yang berisiko, perlu menguasai teknologi dan peralatan terkini selain mematuhi piawaian keselamatan ketat.
Jelasnya, kemahiran sebagai abseiling technician juga membolehkannya melaksanakan pemeriksaan di kawasan tinggi dan sukar dicapai seperti pelantar minyak, struktur keluli, tangki simpanan dan pelbagai fasiliti industri.
Hasil daripada kepakaran yang dimiliki, dia berjaya memperoleh pendapatan asas RM6,000 sebulan sekali gus membuktikan bahawa graduan TVET mempunyai prospek kerjaya yang sangat baik.
Meskipun lumayan, Syed Aidil sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa kejayaan tidak datang bergolek.
Dia percaya kerja keras, pembelajaran berterusan, disiplin dan komitmen tinggi merupakan kunci untuk terus maju dalam kerjaya.
“Saya ingin membuktikan bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya merupakan laluan utama yang mampu melahirkan tenaga kerja mahir diperlukan negara.
“Permintaan terhadap tenaga mahir dalam bidang kimpalan dan pemeriksaan industri terus meningkat dari masa ke masa,” ujarnya.
Syed Aidil berharap, lebih ramai anak muda tidak skeptikal dan berani memilih bidang kemahiran sebagai laluan kerjaya.
Akuinya, kemahiran yang dipelajari hari ini mampu menjadi aset paling bernilai pada masa depan.
The post Tugasan berisiko tinggi Syed Aidil Qayyim appeared first on Kosmo Digital.






