Akauntan Usia 29 Tahun Dilantik Jadi Undang Luak Sungei Ujong Yang Ke-11

LocalPolitics
5 May 2026 • 1:21 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Akauntan Usia 29 Tahun Dilantik Jadi Undang Luak Sungei Ujong Yang Ke-11

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun telah memaklumkan berhubung penerimaan pemberhentian Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong.

Menurut beliau penerimaan pemberhentian Mubarak telah dilakukan dalam satu sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Yang Mulia Telaga Undang, Sarifah Norzaidah Al-Qadri memaklumkan Mubarak telah diberhentikan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Luak Sungei Ujong ke-10 sejak 13 Mei 2025.

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Tuanku Titah Saya Teruskan Tadbir Sebagai Menteri Besar, Kerajaan Negeri Berfungsi Seperti Biasa – Aminuddin Harun

BACA ARTIKEL BERKAITAN: Isu Takhta Negeri Sembilan: Ini Apa Yang Kita Tahu Setakat Ini

Muhammad Faris dilantik jadi Undang Luak Sungei Ujong ke-11

Terbaharu akauntan berusia 29 tahun, Yang Mulia (YM) Waris Klana Hulu Muhammad Faris Johari telah dilantik menjadi Undang Luak Sungei Ujong yang ke-11.

Perlantikan itu dilakukan selepas YM Waris Nun Tua Klana Hulu bersama YM Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu dan YM Waris-waris Klana Hulu bersetuju memilih serta melantik Muhammad Faris dalam istiadat kerapatan di Telaga Undang.

“Istiadat dijalankan di bawah undang-undang teradat iaitu berkeadilan, berundangan, bersalasilah, berteromba pada 22 April 2026. Ia diperkukuh YM Ibu Soko Klana Hilir dan YM Waris Klana Hilir serta disaksikan YM Ibu Soko Waris Negeri, YM Waris Negeri, YM Dato’ Lembaga Lingkungan, YM To’ Buapak Lingkungan dan pegawai kerajaan.

“Pemilihan mengikut salasilah pada Fasal ke-27 Teromba dan Salasilah Negeri Sungei Ujong 1910 dan hukum adat ‘patah tumbuh’ termaktub pada Fasal 5 Undang-undang Sungei Ujong,” jelasnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Menerusi Fasal 48 (VI) teromba serta salasilah Negeri Sungei Ujong 1910, pelantikan itu turut disahkan oleh YM Dato’ Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim Tua Lembaga Waris di-Darat yang dah dan diiktiraf Kerajaan Negeri Sembilan.

“Aturan adat menjadikan YTM Dato’ Klana Petra dibuat tanpa campur tangan pihak luar, selaras Fasal 14 (1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Latar belakang mengenai Undang Luak Sungei Ujong ke-11

Muhammad Faris dilahirkan pada 30 Oktober 1997 dan merupakan anak kedua kepada pasangan Johari Meor Ngah serta Ibu Soko Klana Hulu Shazlina Dato’ Sinda Maharaja Haji Abdul Karim.

Muhammad Faris merupakan Waris Klana Hulu yang berketurunan langsung YTM Dato’ Klana Petra Bador ibni Dato’ Penghulu Menteri Chantek, Undang Luak Sungei Ujong pertama mengikut nasab ibu.

Graduan UITM dalam bidang perakaunan dan peroleh ACCA pada 2022

Beliau sebelum ini menuntut di Maktab Rendah Sains MARA Berseri, Perlis sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA dalam bidang Sarjana Muda Perakuanan.

Muhammad Faris kemudiannya memperoleh kelayakan dalam program Association of Certified Chartered Accountants (ACCA) pada 2022.

Beliau kini merupakan akauan di firma insuran dan perundingan risiko bertaraf multinasional, Marsh yang beroperasi di lebih 130 buah negara di seluruh dunia.

Muhammad Faris telah berkahwin dengan Sharifah Amirah Ir Syed Ismail Ash-Shahab pada 20 April 2024.

Ibundanya lulusan daripada Universiti McGill, Montreal Kanada dan ayahndanya pula graduan Universiti Conventry, England.

“Beliau juga piut YTM Dato’ Klana Petra Ma’amor bin Dato’ Menteri Kassim Undang Luak Sungei Ujong ke-8 dan YTM Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Abdullah bin Panglima Muda Luk Undang Undang Luak Jelebu ke-12 (lebih dikenali Lion of Jelebu atau Singa Jelebu),” katanya.

View Original Article