“Akhirnya Dapat Sumbangan RM1 Juta” – Syed Saddiq Dedah Tiada Peruntukan MP Punca Jadi Model

LocalPolitics
19 Feb 2025 • 10:26 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.


Bagi kebanyakan pengguna media sosial, pasti perasan video tular melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama Bella Astillah.

Kelibat mereka sering menjadi bualan ramai apatah lagi baru-baru ini dia dilihat mendaki Gunung Kinabalu mengenakan Baju Melayu manakala Bella berbaju kurung.

Malah, kemesraan kedua-duanya turut menjadi perhatian hingga ada yang mahu Syed Saddiq dan Bella dijodohkan.

Namun, ada juga yang mempersoalkan kemesraan mereka termasuklah Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid yang menegurnya agar tidak melupakan rakyat Muar.

Jadi Model Kerana Mahu Dapatkan Sumbangan Untuk Kawasan Parlimen

Terbaharu, Syed Saddiq di Parlimen mendedahkan sebab sebenar di sebalik pembabitannya sebagai model sebuah jenama fesyen terkenal.

Jelasnya, dia terpaksa bertindak demikian bagi mendapatkan sumbangan untuk pengundi di kawasan Parlimennya.

Syed Saddiq yang juga merupakan bekas Menteri Belia dan Sukan menjelaskan, penglibatannya itu juga ekoran usahanya bagi mendapat peruntukan daripada kerajaan tidak membuahkan hasil.

“Saya sudah cuba berkali-kali (memohon peruntukan) namun tidak berjaya sebab itu saya lari dan jadi model. Ada Ahli Parlimen marah saya jadi model.

“Saya terpaksa jadi model. Akhirnya dapat sumbangan RM1 juta untuk Parlimen Muar,” jelasnya.

Dia berkata demikian ketika sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat semalam (18 Februari).

Mohon Kerajaan Beri Penjelasan Tentang Peruntukan Di Kawasan Pembangkang

Pada masa yang sama, bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu meminta agar kerajaan tidak berteka-teki tentang pemberian peruntukan kepada pembangkang.

Sebaliknya, kerajaan perlu memberi penjelasan di Dewan Rakyat sama ada peruntukan diberikan atau tidak di kawasan pembangkan.

“Isu peruntukan sebagai Ahli Parlimen Muar, saya konsisten dan beberapa kali cuba berunding. Saya ikut petua Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) supaya berunding dengan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof).

“Saya sudah berunding sebanyak lima kali, surat demi surat sudahpun dihantar. Lebih 400 hari tetapi bantuan daripada kerajaan di Pusat Khidmat Parlimen Muar, kosong ringgit.

“Kalau tak nak (tidak mahu) kasi, cakap sahaja dalam Dewan ini, tak nak kasi jangan bermuka-muka. Di luar kata lain, di dalam kata lain, di luar kata lain lagi,” katanya.

Malah, Syed Saddiq turut meminta agar kerajaan mengamalkan politik matang dan membela pengundi tanpa mengira warna politik.

Terdahulu, sekitar November tahun lalu, Fadillah sewaktu sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 menjelaskan rundingan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang masih lagi terbuka.

Namun pada September 2024 pula, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan ketetapan sebulat suara menolak dua draf cadangan MoU daripada kerajaan berhubung peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Jelas Hamzah, penolakan itu dibuat atas empat sebab fundamental iaitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan nilai budaya, moral serta agama. Ia juga dilihat boleh disalah tafsir serta mengongkong kebebasan.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut mendedahkan terdapat tujuh syarat didakwa dikenakan oleh Kerajaan Persekutuan yang perlu dipenuhi oleh pembangkang bagi mendapat peruntukan.

Syed Saddiq Puji Usaha Perdana Menteri Tentang Isu Palestin

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut memuji ketegasan Anwar dalam usahanya yang memperjuang dan membantu rakyat Palestin di Gaza.

Ia termasuklah usaha kerajaan yang mahu membina sekolah, hospital dan masjid di Gaza.

“Saya tidak faham ada pihak yang mempertikaikan usaha kerajaan ini sedangkan pembinaan hospital dan sekolah itu membabitkan kos yang sangat kecil.

“Ini kerana ia bukan sepenuhnya dana oleh kerajaan sebaliknya membabitkan bantuan dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sumbangan rakyat Malaysia,” katanya.

Source: