‘Akhirnya saya jumpa penerima buah pinggang, hati anak’

LocalHealth & Fitness
2 Nov 2026 • 9:09 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Akhirnya saya jumpa penerima buah pinggang, hati anak’

PETALING JAYA – Kerinduan seorang ibu terhadap anak sulungnya yang meninggal dunia tujuh bulan lalu sedikit terubat apabila berpeluang bertemu dan memeluk penerima organ Allahyarham Muhammad Zahran Mohd. Zuraidi, 21, dalam satu pertemuan baru-baru ini.

Suzita Ab Halim, 47, berkata, pertemuan dengan Haris, 13, penerima buah pinggang kanan arwah anaknya serta Mohd. Amri Ramzi, 34, penerima hati, membuatkan dirinya bersyukur apabila melihat mereka sihat.

Katanya, dia tidak me­nyangka dapat bertemu penerima organ anaknya selepas waris mereka menghubungi sendiri susulan video mengenai kisah pendermaan organ tular di media sosial.

“Waris penerima organ mendapat maklumat mengenai anak saya sebagai penderma bukan daripada doktor, sebalik­nya mereka mencari saya sendiri selepas video di TikTok tular.

“Saya bersyukur sangat dapat berjumpa dan gembira melihat mereka sihat walafiat selepas menerima organ arwah,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Suzita berkata, peluang memeluk Haris ketika pertemuan itu sedikit sebanyak mengubati kerinduannya terhadap arwah Zahran.

“Terubat rindu saya pada arwah apabila dapat memeluk adik Haris,” katanya.

Image from: ‘Akhirnya saya jumpa penerima buah pinggang, hati anak’
KERATAN Kosmo! Online pada 24 Mac 2026.

Kongsinya, pertemuan pertama itu diaturkan oleh TV AlHijrah pada 23 Oktober lalu iaitu genap tujuh bulan pemergian Zahran.

Mengimbas kejadian lalu, Zahran terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Pintas Rawang pada 18 Mac ketika pulang dari kerja sebelum disahkan mati otak pada 23 Mac, pukul 5.55 petang, selepas dua kali ujian dilakukan.

Suzita berkata, dia dan suami membuat keputusan untuk mendermakan organ arwah bagi menunaikan hasrat anaknya yang pernah berniat menjadi penderma organ ketika bersahur pada Ramadan.

Menurutnya, mereka bersetuju mendermakan hati, buah pinggang, mata, jantung dan injap jantung arwah meskipun Zahran tidak pernah berdaftar sebagai penderma organ.

Zahran yang dilahirkan pada 11 Jun 2004 merupakan anak sulung daripada empat beradik dan bekerja dengan Perodua.

Suzita menyifatkan arwah sebagai seorang anak yang baik, bertanggungjawab dan sangat menyayangi keluarga.

Katanya, Zahran seorang abang yang tegas tetapi penyayang, menghormati orang tua, peramah serta suka membantu orang lain termasuk keluarga.

“Arwah juga sentiasa berusaha untuk mendapatkan sesuatu tanpa meminta daripada ayahnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Akhirnya saya jumpa penerima buah pinggang, hati anak’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved