Akibat Buang Puntung Rokok Merata, 2 Lelaki Singapura Didenda RM1,000

LocalEnvironment
7 Apr 2026 • 7:40 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebagai manusia pastinya kita ingin menjaga alam sekitar agar hidup dalam keadaan yang selesa dan bersih. Bahkan sejak dari kecil kita juga diajar untuk membuang sebarang sampah ditempat yang disediakan. 

Oleh itu, tidak kiralah walau di mana kita berada, perkara ini perlu dikekalkan meskipun berada di luar negara. 

Mahkamah Sesyen Johor Bahru Hari ini (7 April) telah mengenakan denda sebanyak RM1,000 ke atas dua lelaki warga Singapura kerana membuang puntung rokok di kawasan awam pada awal tahun 2026. 

Hukuman itu telah dijatuhkan oleh Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim ke atas Orang Kena Saman (OKS), Lim Hu Shen serta Tan Boon Haw yang mana kedua-duanya berusia 38 tahun. 

Sekiranya kedua-dua OKS gagal membayar denda berkenaan, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama sebulan selain perlu menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama enam jam tidak lebih daripada tempoh enam bulan. 

image is not available

Kedua-dua tertuduh didakwa telah bertindak membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok tersebut di kawasan awam atau jalan awam serta bukan dalam bekas yang telah disediakan untuk membuang sisa pepejal.

Perbuatan terbabit didakwa dilakukan oleh Hu Shen yang bekerja sebagai arkitek serta Boon Haw iaitu pengurus projek di depan pintu masuk sebuah pusat membeli-belah di Johor Bahru, jam 11.02 pagi pada 3 Januari yang lalu, lapor Kosmo. 

Pendakwaan itu telah dikemukakan di bawah Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu PKM mengikut subseksyen 77B(1) akta sama. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda sehingga RM2,000 dan sebagai tambahan PKM maksimum 12 jam. 

Kedua-dua OKS tidak diwakili oleh mana-mana peguam dan pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).