Akibat Cemburu Lihat Bekas Kekasih Dengan Orang Lain, 2 Lelaki Parah Dipukul

LocalPolitics
20 Nov 2025 • 10:06 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Setiap pasangan yang bercinta pastinya menyayangi kekasih mereka dan sanggup melakukan apa sahaja demi melihat kebahagiaannya.

Namun apabila sudah berpisah ada juga segelintir individu yang sukar menerima kenyataan dan masih mencuba untuk mendapatkan semula insan tersayang.

Malah ada yang turut berasa cemburu apabila melihat insan yang pernah disayangi memilih untuk mula berjumpa dengan orang lain.

2 lelaki dipukul sekumpulan lelaki, pergaduhan berpunca kerana cemburu kekasih ‘dikebas’

Terbaharu, dua lelaki dilaporkan parah kerana dipukul oleh sekumpulan lelaki dalam satu insiden pergaduhan di hadapan pusat hiburan di Jalan Radin Tengah, Sri Petaling, Kuala Lumpur pada awal pagi tadi (20 November).

Jelas Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook menerusi siasatan dilakukan mendapati pergaduhan terbabit berlaku kerana cemburu bekas teman wanita ‘dikebas’ orang lain.

“Polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 3.40 pagi, yang mana dua mangsa lelaki tempatan cedera parah akibat dipukul sekumpulan lelaki.

“Mangsa dipukul menggunakan objek tajam dan batang besi sebelum suspek melarikan diri menaiki kenderaan yang diletakkan di bahu jalan,” ujarnya, lapor Harian Metro.

Polis rampas batang besi disyaki digunakan sewaktu pergaduhan, 5 lelaki ditahan

Menurutnya mangsa bagaimanapun dalam keadaan stabil sebaik dirawat di Hospital Ampang.

Ekoran daripada insiden tersebut, Bahagian Siasatan Jenayah Brickfields telah menahan lima lelaki yang berusia 17 hingga 20 tahun.

Batang besi yang disyaki digunakan sewaktu insiden sebagai senjata turut dirampas oleh pihak polis.

“Semakan rekod ke atas kesemua suspek didapati salah seorang daripadanya mempunyai dua rekod jenayah kekerasan yang disiasat di bawah Seksyen 323 dan 324 Kanun Keseksaan.”

Tambah Hoo Chang Hook lagi, polis juga sedang giat mengesan saki baki individu yang terbabit untuk melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 326/148 Kanun Keseksaan.