Akibat Cemburu, Suami Tikam Isteri Bertubi-Tubi Hingga Mati

9 Apr 2023 • 12:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Suspek bertindak menikam beberapa kali di belakang mangsa sebelum bertindak melarikan diri - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Hanya kerana cemburu, seorang suami tergamak menikam isterinya sehingga mati dalam kejadian di sebuah gerai sayur di Jalan Pahlawan, Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berusia 38 tahun, terdahulu parah ditikam, sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) dan disahkan meninggal dunia.

Kejadian itu difahamkan disedari orang awam yang memaklumkannya kepada polis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa membantu kakaknya berniaga sayur di kawasan berkenaan sebelum didatangi suspek.

Katanya, suspek bertindak menikam beberapa kali di belakang mangsa sebelum bertindak melarikan diri.

“Mangsa yang parah kemudian dibawa ke hospital menggunakan ambulans, namun disahkan meninggal dunia pada 2.21 petang,” katanya kepada BH.

Kalsom berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya memberkas suspek di Jalan Kepayan pada jam 8.30 malam tadi.

“Polis berjaya menyelesaikan kes ini tidak sampai 24 jam dan motif kejadian dipercayai akibat cemburu.

“Polis turut merampas sebilah pisau di lokasi kejadian yang dipercayai digunakan ketika kejadian oleh suspek,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang juga warga asing direman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Insiden terbabit berlaku kurang seminggu selepas seorang wanita maut disyaki turut dibunuh suaminya sendiri dengan tukul besi di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun, Terengganu.

Kes pada kira-kira jam 8 pagi, Khamis lalu itu, menyaksikan mangsa, Rubiah Sabtu, 41, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan di muka dan kepala.

Wanita terbabit sebelum itu dikatakan menghantar anak perempuan berusia enam tahun yang juga anak tiri suspek ke tabika dan sebaik tiba di rumah, berlaku perselisihan faham di antara mangsa dan suaminya berusia 32 tahun.

Perselisihan faham itu dikatakan membawa kepada pembunuhan terbabit dan suspek yang ketakutan selepas bertindak sedemikian, dikatakan keluar dari rumah serta pergi ke kediaman saudaranya tidak jauh dari situ, sebelum menceritakan apa berlaku. – Getaran, 9 April 2023