Akibat Cemburu, Wanita Warga Asing Ditahan Dipercayai Potong Alat Sulit Kekasih Di Johor

LocalPolitics
10 Oct 2025 • 10:28 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Cemburu merupakan salah satu perasaan yang dimiliki oleh setiap individu tidak kira tua mahupun muda.

Namun perasaan cemburu ini perlu dikawal, kerana ia juga boleh mengundang masalah kepada diri sendiri dan orang lain.

Bahkan dek kerana cemburu yang melampau ada juga yang sanggup melakukan perkara yang mengundang bahaya seperti mencederakan diri sendiri atau individu lain.

Wanita warga asing dipercayai potong alat sulit kekasih kerana cemburu

Terbaharu, seorang wanita warga Bangladesh telah ditahan reman selepas dipercayai memotong alat sulit teman lelakinya kerana cemburu dalam satu insiden di Kampung Lokan, Gelang Patah, Johor.

Wanita yang berusia 34 tahun itu direman selama lima hari bermula 9 Oktober.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M Kumarasan wanita berkenaan ditahan pada jam 12.15 tengah hari, 9 Oktober. Ianya selepas pihak polis menerima laporan dari seorang lelaki tempatan yang berusia 47 tahun pada jam 10.45 pagi.

Cemburu mangsa tak ceraikan lagi isteri di Bangladesh

Ujarnya, laporan berkenaan dilakukan selepas lelaki tersebut mendapati rakannya, seorang lelaki warga Bangladesh yang berusia 33 tahun telah mengalami kecederaan yang serius pada bahagian alat sulit serta tangan kiri kerana dipotong oleh wanita itu.

“Hasil siasatan mendapati kejadian bermotifkan cemburu apabila suspek mengetahui mangsa masih belum menceraikan isterinya di negara Bangladesh setelah menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih dengan suspek,” jelasnya, lapor Malaysia Gazette dipetik Bernama.

Sebilah pisau turut dirampas

Kata M Kumarasan lagi, susulan penangkapan suspek polis turut merampas sebilah pisau berukuran 29 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam insiden itu.

Hasil semakan yang dilakukan mendapati wanita itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau serta negatif dadah. Mangsa pula kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kerana menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda-benda yang berbahaya. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun berserta denda atau sebat.

Kes turut disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana masuk dan tinggal tanpa permit sah. Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya dan sebatan tidak melebihi 6 sebatan.

image is not available

image is not available

Source: