
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Setiap kali melancong ke sesuatu tempat, sudah tentu anda mahu semuanya berjalan lancar termasuklah perjalanan pergi dan balik, pengangkutan, penginapan dan sebagainya.
Mana tidaknya, ada segelintir individu yang mengumpul cuti tahunannya (AL) semata-mata mahu merehatkan diri di destinasi pilihan masing-masing. Nama pun bercuti, mesti anda mengharapkan momen yang indah sahaja. Betul tak?
Namun pernah tak anda berdepan dengan percutian yang sepatutnya seronok dan mengujakan tetapi bertukar kepada pengalaman ‘horror’?
Lelaki Terkejut Lihat Keadaan Airbnb Yang Ditempah Di Genting Highlands
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@letoatreides_) apabila seorang lelaki dikenali sebagai Marwan berkongsi keadaan penginapan Airbnb yang ditempah olehnya di Amber Court, Genting Highlands.
Mendapat tawaran harga luar biasa, rumah dua tingkat itu bernilai RM10 sahaja untuk satu malam! Ya dengar pun memang rasa tidak masuk akal.
Bagaimanapun selepas melihat keadaan rumah tersebut depan mata, Marwan tidak sangka dia akan tinggal di rumah sedemikian. Menerusi video perkongsian, kelihatan rumah itu seperti sudah ditinggalkan dalam tempoh masa yang lama.
Apabila masuk sahaja di pintu utama, anda boleh lihat air bertakung di ruang tamu. Salah satu tingkap di unit tersebut telah tercabut, dan juga terbiar tanpa langsir.
Bukan itu sahaja, rumah yang usang itu juga kosong dan tidak mempunyai sebarang perabot. Lantai bersimen itu pula kelihatan seperti tidak dibersihkan oleh penghuni, berdebu dan banyak sisa-sisa sampah.
Lebih mengejutkan, hanya satu sahaja kain langsir yang tersedia di sana. Namun cara ikatannya itu memang mencurigakan seolah-olah seperti tali gantung.
Kediaman Masih Ada Akses Elektrik Walaupun Sudah Usang
Selepas menjelajah satu rumah, mereka mendapati terdapat dapur yang masih boleh digunakan. Lampu juga boleh dinyalakan menandakan rumah itu ada akses elektrik.
Jelas Marwan, dia bersama rakannya telah tertipu dengan penghuni Airbnb tentang keadaan kediaman terbabit. Walaupun mereka mengambil masa yang lama untuk melihat setiap sudut rumah berkenaan, namun kami percaya mereka tidak tinggal di situ meskipun dengan harga mesra poket.
Sekali pandang macam aktiviti paranormal pun ada. Kudos kepada mereka kerana masih berani meneroka tempat itu.
Bagi pendapat kami, satu-satunya benda positif tentang penginapan itu adalah pemandangan alam semula jadi yang cantik dari tingkap. 😄
@letoatreides_ it was a pleasant stay 🙂↕️ #gentinghighlands #fyp #malaysia #hotel #tourist ♬ Jelly Fish Jam – Techno Mix – Da Fokin
Tonton video penuh [DI SINI].
Orang Ramai Jenaka Rumah Sesuai Untuk Aktiviti Paranormal
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memberikan pelbagai reaksi melihat situasi dalam kediaman Airbnb itu.
“Tali tu mungkin untuk dekorasi,” kata seorang wanita yang mahu bersangka baik.
“Wow ada kolam renang private,” sindir seorang pengguna TikTok.
Malah segelintir warganet berkata masih ada penduduk tinggal di kondominium berkenaan.
“Warga asing yang banyak tinggal dekat sini,” ujar seorang individu.
Sementara itu, ramai juga terhibur melihat keadaan rumah yang tidak seperti disangka itu.
“Kalau macam ni, bagi free pun aku tak nak. Baik tidur dalam kereta,” kata seorang wanita.
“Bayar RM10 untuk paranormal ke ni bang?” seloroh seorang lagi netizen.








Baca Artikel Berkaitan: “Masa Booking Lawa” – Wanita Kongsi Pengalaman, Dapat Homestay Kotor Ketika Bercuti Di Langkawi [Video]
Source:




