Akibat mengamuk di restoran, ‘abang baby’ didenda RM300

13 Jun 2023 • 1:35 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang mengamuk kerana tidak dipanggil ‘abang’ atau ‘baby’ di sebuah restoran di Subang Jaya didenda RM300 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan mudarat awam.

Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Asri Abdullah, 50, dan memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda.

Mohd Asri yang merupakan gelandangan didakwa melakukan mudarat awam sehingga menyebabkan kegusaran orang ramai di sebuah restoran di Putra Height, Subang Jaya pada 9 pagi, 4 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 290 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM400.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Mohd Asri mengamuk selepas berang tidak dipanggil dengan panggilan ‘abang’ atau ‘baby’ dengan membaling bungkusan nasi dan air Nescafe panas lalu terkena pada anak lelaki pemilik restoran berusia empat tahun.

Bekas pemandu lori itu turut menendang meja, membaling kerusi, meludah serta berkelakuan pelik. -Bernama