Akibat penat hadap jem, anak tertinggal di R&R

LocalFamily & Parenting
25 Mar 2026 • 7:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Merak Jalanan ambil masa 16 jam untuk sampai kampung halaman. - FOTO: Imej janaan AI

MUSIM balik beraya kalau nak cerita, memang kisahnya penat sahaja. Merak Jalanan ambil masa 16 jam untuk sampai kampung halaman. Gerak dari Kuala Lumpur jam 10 malam, konon nak elak jem. Sekali sampai tol Bentong jam 4.30 pagi. Enam jam!

Kaki dah lenguh, pinggang rasa nak tercabut, mata pula dah kuyu. Akhirnya tewas juga, berhenti di R&R Temerloh. Dapat lelap lima minit pun dah rasa macam tidur cuti umum.

Tiba-tiba kecoh di luar. Ingatkan orang rebut parkir, rupanya lagi besar ceritanya. Seorang budak perempuan dalam lingkungan 12 tahun meraung macam ada kematian. Tangisan dia boleh buat orang yang tengah lena terus bangun macam kena alarm kecemasan.

Rupa-rupanya dia tertinggal. Keluar ke tandas tanpa disedari ibu bapa dan keluarga pula terus gerak sebab ingat anak masih tidur di tempat duduk belakang. Itulah bila penat campur mengantuk, otak pun jadi GPS rosak, semua rasa betul.

Tak lama lepas tu, muncul si ibu dengan tercungap-cungap macam baru lari kejar bas terakhir. Wajah panik, langkah laju. Bila jumpa anak, terus peluk. Memang drama jejak kasih versi R&R, sambil orang ramai yang kerumun tadi memanjatkan kesyukuran.

Rupanya mereka hanya sedar anak tiada bila hampir keluar hentian. Nak undur? Jangan harap. Jalan sesak macam tin sardin. Jadi si ibu turun berjalan kaki, tanya sana sini, dibantu anggota Rela. Satu R&R jadi saksi misi mencari anak.

Merak Jalanan geleng kepala sambil senyum pahit. Balik kampung ini bukan saja uji minyak dan brek, tapi uji ingatan sekali. Dalam kepala jangan asyik kira jarak, masa dan minyak sehingga terlupa kira ahli keluarga.

Kalau tersalah exit, boleh patah balik. Kalau tertinggal anak, buruk padahnya.