
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kes mengintai individu merupakan antara kes yang sering diterima oleh pihak berkuasa. Malah ada segelintir kes yang ditularkan sebagai pengajaran serta amaran untuk orang ramai berhati-hati.
Perkara ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang sebaliknya perbuatan terkutuk itu juga mengundang dosa.
Bahkan demi melempiaskan nafsu si pelaku juga sanggup menjadikan ahli keluarga sendiri sebagai mangsa.
Imam intai adik ipar mandi kena denda RM8,000
Hari ini (8 April) Mahkamah Majistret Kota Bharu telah menjatuhkan hukuman denda terhadap seorang imam sambilan sebanyak RM8,000 atas tuduhan merakam adik iparnya mandi menggunakan telefon menggunakan telefon bimbit pada Hari Raya Aidilfitri keempat yang lalu.
Hukuman itu dilakukan selepas imam yang berusia 36 tahun mengaku bersalah sebaik pertuduhan terbabit dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Tertuduh didakwa dengan niat ingin mengaibkan kehormatan serta mengganggu kesantunan wanita berusia 27 tahun selepas bertindak merakam mangsa menggunakan telefon bimbit ketika dia sedang mandi di kediaman di Kok Lanas, Ketereh pada jam 6.30 petang pada 24 Mac lalu.
Pendakwaan kes dilakukan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan individu berkenaan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya cadang hukuman setimpal
Tertuduh ketika prosiding diwakili oleh Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Najwa Fahima Mohamad Fadzil dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah.
Sebelum ini, Muhammad Nadzir telah mencadangkan hukuman yang setimpal dengan pertimbangan wanita tersebut merupakan adik ipar kepada tertuduh dan insiden itu berlaku di rumah nenek mereka sewaktu keluarga besar berkumpul bersempena Hari Raya Aidilfitri.
“Tertuduh juga menjadi imam sambilan di sebuah surau di Shah Alam, Selangor. Jadi, kedudukan agama yang tinggi seharusnya tidak boleh mengaibkan maruah adik ipar sendiri,” ujarnya, lapor Kosmo.
Peguam wakili tertuduh rayu hukuman minimum, tertuduh tanggung keluarga & anak hidap jantung berlubang
Walau bagaimanapun peguam, Najwa Fahima yang mewakili imam berkenaan telah merayu agar hukuman denda yang minumum diberikan dengan memberikan alasan anak guamnya telah insaf.
Malah dia telah berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama di masa akan datang.
Selain itu, Najwa Fahima juga memaklumkan yang imam berkenaan menanggung isteri bersama dua orang anak dengan salah seorang darinya berusia lima tahun dan menghidap penyakit jantung berlubang, manakala ibunya mempunyai penyakit diabetes.
“Tertuduh merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dan Politik, Universitas Riau, Indonesia dan baru sahaja memulakan perniagaan eksport barangan ke Afrika Selatan selain bekerja sampingan sebagai imam untuk menyara keluarga.”
Majistret tegur imam sepatutnya pimpin dan jaga maruah adik ipar
Majistret kemudiannya menegur perbuatan lelaki berkenaan sebaik mengambil kira latar belakang pendidikannya. Malah sebagai seorang imam dia sepatutnya memimpin keluarga serta menjaga maruah adik ipar sendiri sebelum menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.
“Bukan ambil kesempatan dan jatuh air muka keluarga. Jangan jadi seperti haruan makan anak,” ujarnya.
Majistret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM8,000 atau penjara selama 12 bulan jika tertuduh gagal membayarnya.
Tertuduh lalu membayar denda berkenaan.
Adik ipar sedar sebuah telefon bimbit sedang rakamnya mandi
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketika hari kejadian wanita yang merupakan adik ipar kepada imam berkenaan menyedari sebuah telefon bimbit sedang merakamnya mandi.
Susulan itu pemeriksaan lalu dilakukan dan mendapati peranti yang diletakkan atas dinding bilik air berkenaan adalah milik imam tersebut.
Mangsa lalu mengambil telefon bimbit tersebut ekoran bimbang sekiranya rakaman itu tersebar sebelum tampil membuat laporan polis.

