
Kota Kinabalu: Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Pemuda DAP Sabah (Dapsy) mengecam Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh, susulan gesaannya agar Perdana Menteri tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Mereka mempersoalkan rasional kerajaan mengiktiraf sistem peperiksaan berasaskan kurikulum British tetapi tidak mengiktiraf UEC yang diterima secara meluas, termasuk di Amerika Syarikat.
Kedua-dua pihak menegaskan kenyataan Akmal mengetepikan realiti di Malaysia Timur, memandangkan kerajaan Sabah dan Sarawak sudah mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke perkhidmatan awam negeri serta institusi negeri.
Dasar itu, kata mereka, tidak melemahkan bahasa kebangsaan atau menjejaskan perpaduan, sebaliknya memperluas peluang, mengekalkan bakat dan mengukuhkan sifat inklusif masyarakat di Malaysia Timur.
Naib Presiden LDP, David Ong berkata isu yang dibangkitkan Akmal berhubung UEC adalah mengelirukan dan tidak wajar.
“Hujahnya tidak lengkap dan tidak menggambarkan realiti sistem pendidikan negara serta masyarakat majmuk kita,” katanya dalam satu kenyataan.
“Malaysia sudah menerima pelbagai kelayakan luar negara seperti A-Levels, IB dan Australian Matriculation.
“Menolak UEC sedangkan menerima sijil antarabangsa lain adalah tidak konsisten dan tidak adil kepada pelajar Malaysia yang telah membuktikan kemampuan mereka melalui sistem UEC.”Beliau berkata dakwaan bahawa pengiktirafan UEC akan menjejaskan Bahasa Malaysia juga tidak berasas kerana pengiktirafan tidak menggantikan atau melemahkan kedudukan bahasa kebangsaan, selain ramai pelajar UEC menunjukkan penguasaan kukuh dalam bahasa tersebut.
“Contoh jelas dapat dilihat dalam Pertandingan Forum Remaja Bahasa Melayu peringkat kebangsaan, di mana pelajar sekolah menengah Cina persendirian – termasuk calon UEC – sering cemerlang malah ada yang muncul juara kebangsaan.
“Kejayaan mereka membuktikan pembelajaran dalam sistem UEC tidak menghalang penguasaan Bahasa Malaysia,” katanya. Beliau menambah perpaduan negara diperkukuh apabila setiap komuniti dihormati dan diiktiraf, bukannya apabila kelayakan sah diketepikan berdasarkan tanggapan lapuk.
“Malaysia perlu melangkah ke hadapan dengan dasar yang adil, rasional dan inklusif. Kita harus memperkasa golongan muda dengan mengiktiraf keupayaan mereka, mengekalkan bahasa kebangsaan dan meraikan kepelbagaian yang menjadi kekuatan negara,” katanya.
Ketua Dapsy Sabah, Chan Loong Wei, berkata sistem UEC telah melahirkan graduan cemerlang dalam bidang kejuruteraan, perubatan, sains, perniagaan dan teknologi.
Beliau menolak dakwaan bahawa pengiktirafan UEC menggugat Bahasa Malaysia kerana graduannya tetap memenuhi keperluan bahasa kebangsaan serta syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
Chan turut menyatakan bahawa Sabah telah menunjukkan pendekatan progresif apabila pentadbiran negeri terdahulu mewujudkan Dana Biasiswa Khas UEC bernilai RM5 juta, iaitu yang pertama seumpamanya di negeri ini.
Selain itu, beliau berkata lebih 1,000 universiti di seluruh dunia – merangkumi Singapura, China, Jepun, Australia, New Zealand, United Kingdom, Perancis, Amerika Syarikat dan Kanada – mengiktiraf UEC bagi kemasukan terus, di samping lebih 300 institusi pendidikan swasta di Malaysia.
Katanya, pelaburan terhadap graduan UEC akan memberi manfaat kepada tenaga kerja dan daya saing Sabah, khususnya ketika negeri ini memperkukuh hubungan ekonomi dengan rakan dagang utama termasuk China serta menarik pelaburan bernilai tinggi.
“Pendidikan tidak sepatutnya dijadikan senjata politik. Malaysia perlu memberi keutamaan kepada usaha melahirkan bakat, mengekalkan golongan muda berkemahiran dan membina tenaga kerja berbilang bahasa yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Beliau menggesa pimpinan nasional merangka dasar pendidikan berasaskan fakta, bukan ketakutan, sambil menegaskan bahawa pengiktirafan UEC selaras dengan standard kelayakan sedia ada dan mencerminkan prinsip keadilan serta meritokrasi.
