UEC: Howard bidas Akmal ‘isunya bukan Dasar Pendidikan Negara tapi siapa yang ingin diserang’

LocalPolitics
12 Dec 2025 • 3:37 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee membidas Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mendakwa beliau tidak memahami dasar pendidikan negara, terutama melibatkan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Menurut Howard, yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Akmal telah lari dari fakta apabila mendakwa UEC tidak menepati tiga syarat yang diperlukan untuk diiktiraf.

Malah kata Howard, pelajar yang mengambil UEC juga menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Howard turut membandingkan Advanced Levels (A-Levels) dan International Baccalaureate (IB) dengan UEC. “A-Levels itu memenuhi syarat itu? Tidak. IB memenuhi syarat itu ke tidak? IGCSE International General Certificate of Secondary Education) memenuhi syarat itu ke tak? Tidak.

“Dan sebenarnya dia tahu ke tidak, kebanyakan pelajar UEC sebenarnya menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) juga. Confirm dia tidak tahu.

“IB tidak ikut kurikulum kebangsaan pun. IGCSE tidak duduki peperiksaan SPM atau STPM pun. Kalau ikut logik saudara Akmal yang tidak berapa logik itu, semua ini patut ditolak dan tidak diiktiraf IPTA atau IPTS,’’ katanya menerusi hantaran video di media sosial hari ini.

Semalam, Akmal yang juga Ketua Umno Jasin dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk kerajaan mempertimbangkan untuk mengiktiraf UEC apabila sijil berkenaan tidak menepati aspek penting dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Jelasnya, Dasar Pendidikan Negara ada tiga iaitu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama, mesti menggunakan kurikulum yang sama berorientasikan negara dan yang ketiga adalah mesti menduduki sistem peperiksaan yang sama.

Dalam pada itu, Howard memberitahu, Malaysia adalah sebuah negara yang berpendidikan pelbagai aliran dan ia merupakan fakta sejarah, undang-undang serta realiti.

Apa yang pelik, kata Howard adalah ketika zaman Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dulu, beberapa pemimpin termasuk mereka yang berada di dalam Kabinet ketika ini pernah menjanjikan pengiktirafan UEC.

Adakah mereka juga, soal Howard, tidak memahami Dasar Pendidikan Negara.

“Sebab logiknya dia sendiri tidak konsisten dan sebenarnya totally salah. Jadi persoalannya bukan pasal Dasar Pendidikan Negara pun bagi dia.

“Persoalannya adalah siapa yang dia mahu serang dan kenapa dia mahu serang. UEC tidak selaras. Tapi A-Levels selaras ke? IGCSE selaras ke? IB selaras ke? Itu bukan dasar,’’ katanya. - 12 Disember, 2025

The post UEC: Howard bidas Akmal ‘isunya bukan Dasar Pendidikan Negara tapi siapa yang ingin diserang’ appeared first on Scoop.