
KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh berkata beliau akan membentangkan bukti kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok bagaimana Melaka menjadi negeri utama pelancongan dalam Malaysia dan menjana hasil berbilion ringgit tanpa perlu mengadakan acara ala-ala disko jalanan seperti di Bukit Bintang.
Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkata demikian sebagai menjawab gesaan Kok supaya beliau membentangkan cadangan yang membina bagi menarik pelancong asing serta merangsang ekonomi tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Ia susulan bantahan Akmal terhadap penganjuran Rain Rave Water Music Festival 2026 yang berlangsung di Bukit Bintang, selama tiga hari, berakhir semalam.
Menurut Akmal, jumlah pelancong yang berkunjung ke Melaka pada tahun lepas adalah 15 juta orang dengan hasil yang dijana hampir berbilion ringgit dari sektor pelancongan.
"Saya tidak perlu bentang cadangan tapi saya akan bentangkan bukti pada Teresa Kok.
“Acara disco jalanan tajaan kerajaan tiada langsung di Melaka.
“Oh ya, di Melaka pun kami buat pesta air, tapi pesta air kami dimasukkan elemen tradisional yang mana mereka yang datang diperkenalkan pakaian tradisional dan nyanyian serta persembahan budaya diberikan, bukan dengan persembahan disco jalanan yang kamu banggakan itu,’’ katanya.
Terdahulu, Teresa Kok menerusi hantaran di Facebook hari ini menggesa PAS dan Akmal Saleh supaya berhenti membantah sebaliknya membentangkan cadangan yang membina bagi menarik pelancong asing serta merangsang ekonomi tempatan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Ia susulan bantahan PAS dan Akmal terhadap penganjuran Festival Rain Rave Water Music di Bukit Bintang yang berakhir semalam.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar sebelum ini mendakwa acara berkenaan tidak mencerminkan identiti Malaysia, manakala Akmal mempersoalkan mengapa festival itu tidak dibatalkan atas alasan penjimatan kerajaan.
Sementara Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya membantah penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 di Kuala Lumpur itu yang dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, apa yang perlu dilakukan ialah mempromosikan budaya negara supaya pelancong dapat menghargainya selain dapat perkenalkan budaya Malaysia di mata dunia.
“Bukan ambil budaya luar dan kita pula promosikan. Dan saya nak beritahu kamu bahawa disco jalanan sambil tembak air tu bukan budaya Malaysia.
“Kalau nak kelas belajar budaya Malaysia pon saya boleh bagi pada kamu wahai Teresa,’’ katanya. - 3 Mei, 2026
The post Akmal jawab Teresa, pelancongan di Melaka jana berbilion ringgit tanpa perlu acara ala-ala disko appeared first on Scoop.



