Melaka jayakan sektor pelancongan tanpa disko jalanan – Dr Akmal

LocalTravel
3 May 2026 • 4:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Melaka jayakan sektor pelancongan tanpa disko jalanan – Dr Akmal
Muhamad Akmal mengajak Teresa untuk datang ke Melaka bagi melihat sendiri pendekatan yang dilaksanakan di negeri itu.

SHAH ALAM - Melaka wajar dilihat sebagai bukti kejayaan dalam memacu sektor pelancongan tanpa perlu bergantung kepada hiburan jalanan bagi menarik pelancong asing.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kejayaan Melaka menarik kira-kira 15 juta pelancong tahun lalu dengan hasil mencecah hampir berbilion ringgit membuktikan pendekatan berteraskan warisan dan budaya mampu memberikan pulangan ekonomi yang besar.

"Di Melaka, kami buat pesta air tapi pesta air kami dimasukkan elemen tradisional yang mana mereka yang datang diperkenalkan pakaian tradisional, nyanyian dan persembahan budaya diberikan, bukan dengan persembahan disco jalanan yang kamu banggakan itu," katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi menjawab gesaan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kak yang meminta pihaknya memberi cadangan yang membina, menarik dan bukannya lantang menentang Festival Muzik Air Rain Rave yang telah berakhir pada Sabtu.

Tegasnya, Melaka tidak menganjurkan acara berunsur aktiviti 'disko jalanan', sebaliknya kekal mempromosikan warisan tempatan sebagai tarikan utama.

Muhamad Akmal berkata, usaha mempromosikan pelancongan negara seharusnya memberi fokus kepada keunikan budaya tempatan agar dapat diperkenalkan kepada pelancong luar.

"Kalau nak promosi pelancongan negara ini, bawa dan promosikan budaya yang kita ada supaya pelancong dapat hargai dan kita dapat perkenalkan budaya Malaysia di mata dunia.

"Bukan ambil budaya luar dan kita pula promosikan. Dan saya nak beritahu bahawa disko jalanan sambil tembak air itu bukan budaya Malaysia," katanya lagi.

Pada masa sama, beliau turut mengajak Teresa untuk datang ke Melaka bagi melihat sendiri pendekatan yang dilaksanakan di negeri itu.

"Saya tidak perlu bentang cadangan, tapi saya akan bentangkan bukti pada Teresa Kok

"Saya jemput untuk datang ke Melaka dan saya akan bentangkan bagaimana Melaka menjadi negeri utama pelancongan dalam Malaysia tanpa buat acara ala-ala disco jalanan macam di bukit bintang," ujarnya.