Akmal Saleh tuntut kerajaan perjelas percanggahan audit TH 2017

LocalPolitics
30 Jul 2026 • 5:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Akmal Saleh tuntut kerajaan perjelas percanggahan audit TH 2017
Akmal Saleh menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kepada rakyat berhubung percanggahan dapatan audit membabitkan prestasi kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tahun 2017.

SHAH ALAM — Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kepada rakyat berhubung percanggahan dapatan audit membabitkan prestasi kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tahun 2017.

Beliau berkata, pada tahun berkenaan, TH diumumkan mencatatkan keuntungan sebanyak RM3.412 bilion selepas zakat dan angka itu diiktiraf oleh Jabatan Audit Negara memandangkan TH ialah sebuah badan berkanun yang tertakluk kepada pengauditan jabatan berkenaan.

"Bagaimanapun, audit yang dijalankan oleh pihak swasta yang dilantik bagi tahun kewangan sama pula mendapati TH mengalami kerugian sebanyak RM4.1 bilion," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Khamis.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan laporan audit manakah yang perlu dipercayai oleh rakyat memandangkan kedua-duanya membabitkan tahun kewangan yang sama tetapi menghasilkan dapatan yang berbeza.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada kredibiliti Jabatan Audit Negara boleh dipertikaikan sekiranya dapatan audit swasta dijadikan rujukan utama.

ARTIKEL BERKAITAN: 'RCI Tabung Haji buktikan fitnah saya gadai aset umat Islam tidak benar' – Mujahid

Kuasa menteri tamatkan khidmat pimpinan TH tanpa sebab perlu dikaji semula

RCI Tabung Haji: Keputusan hibah, bantuan haji dipengaruhi unsur politik

"Jika audit yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara didapati salah dan menyeleweng, timbul persoalan sama ada rakyat masih boleh mempercayai semua audit yang dilaksanakan terhadap badan-badan berkanun kerajaan yang lain di negara ini," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan sejauh mana kredibiliti audit swasta boleh diyakini sekiranya audit oleh Jabatan Audit Negara sebenarnya dilaksanakan dengan betul.

Justeru, Muhamad Akmal memohon pencerahan daripada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan supaya isu berkenaan diperjelaskan secara telus kepada seluruh rakyat.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved