
SEREMBAN: Perdana Menteri mendedahkan kegagalan mengendahkan amaran awal dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) antara tahin 2014 hingga 2017 antara faktor yang menyebabkan institusi itu mengalami kerugian besar.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Jemaah Menteri membentangkan dapatan Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) secara telus adalah bagi memastikan siasatan dapat dilakukan secara menyeluruh selain memberi pengajaran supaya amanah rakyat tidak dikhianati.
Menurutnya, penelitian terhadap tempoh selepas 2018 turut akan dilakukan bagi melihat langkah pembaharuan dan pemulihan yang dilaksanakan di bawah pengurusan semasa TH diterajui Pengerusinya, Tan Sri Rashid Hussain.
“Amaran awal telah diberikan antara 2014 hingga 2017, tetapi tidak diendahkan dan tidak didedahkan sehingga menyebabkan kerugian besar.
“Yang penting, keputusan Jemaah Menteri adalah supaya siasatan dilakukan secara telus hingga ke akar umbi, bukan hanya melibatkan tempoh 2014 hingga 2017, tetapi juga selepas itu untuk melihat apa yang berlaku pada 2018 hingga 2020 serta langkah pemulihan yang telah dilaksanakan.
“Biarlah rakyat menilai. Bagi saya, ini bukan untuk membongkar kisah lama sebaliknya menjadi pengajaran supaya amanah rakyat tidak lagi dikhianati dan kesilapan sama tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Temu Anwar Negeri Sembilan di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, tarikh pelaksanaan sidang khas Parlimen berhubung laporan RCI berkenaan masih menunggu persetujuan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Saya telah mencadangkan supaya ia diadakan secepat mungkin supaya Ahli Parlimen mempunyai masa meneliti laporan itu, mendengar penjelasan lanjut dan membahaskannya secara terbuka sepanjang hari,” katanya.
Terdahulu, Kabinet meluluskan penerbitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH).
Laporan RCI itu akan diterbitkan hari ini selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri.-UTUSAN
The post ‘Amaran awal BNM tidak diendahkan punca TH alami kerugian besar’ appeared first on Utusan Malaysia.






