SHAH ALAM - Kerajaan disaran melihat semula formula yang digunakan oleh Thailand untuk menentukan harga minyak selepas negara itu berjaya menurunkan harga diesel bermula hari ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, tindakan Thailand itu seiring dengan harga minyak dunia namun di Malaysia berlaku sebaliknya.
"Pada minggu lepas kerajaan Thailand telah melihat semula formula harga minyak mereka dan apabila harga minyak dunia telah turun semalam maka hari ini harga minyak mereka turut turun.
"Di Malaysia pula harga minyak kita terus meningkat akibat formula penentuan harga minyak negara ditentukan oleh purata harga bagi minggu sebelumnya," katanya menerusi Facebokk pada Khamis.
Sebelum ini, Thailand akan mengurangkan harga diesel sebanyak 2.14 baht (RM0.27) seliter bermula Khamis (9 April), sekali gus memberi kelegaan segera kepada pemandu dan perniagaan menjelang sambutan Pesta Songkran.
Jawatankuasa Pengurusan Dana Bahan Api Minyak (OFMC) pada Rabu mengumumkan pengurangan itu susulan semakan semula formula harga penapisan oleh Kementerian Tenaga bagi mengurangkan beban rakyat.
Menteri Tenaga Akanat Promphan berkata Jawatankuasa Pentadbiran Dasar Tenaga telah meluluskan potongan sebanyak 2 baht seliter bagi harga “ex-refinery” untuk diesel B7 dan B20.
Beliau turut menyindir supaya kerajaan mencari semula raja formula yang sebelum ini pernah mendakwa mampu menurunkan harga minyak dengan mudah.
"Cari semula raja formula yang sebelum ini kata boleh turunkan minyak," ujarnya.

