Harga Diesel Thailand Turun 27 Sen Bermula Hari Ini

WorldBusiness & Finance
9 Apr 2026 • 9:39 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Harga Diesel Thailand Turun 27 Sen Bermula Hari Ini

Thailand menurunkan harga pam diesel sebanyak 2.14 baht (RM0.27) seliter mulai Khamis.

Memetik Bangkok Post, kelulusan rombakan harga penapisan oleh kerajaan dengan mengurangkan kos isi rumah dan menyokong Dana Bahan Api Minyak yang berhutang tinggi oleh kerajaan itu memberi kelegaan kepada pemandu dan perniagaan di negara tersebut.

Pengurangan itu susulan keputusan Jawatankuasa Pentadbiran Dasar Tenaga untuk mengguna pakai kaedah baharu pengiraan harga keluar kilang penapisan, selain pengurangan pampasan kerajaan ketika harga minyak global terus menurun.

Menteri Tenaga, Akanat Promphan, yang mempengerusikan Jawatankuasa Pengurusan Dana Bahan Api Minyak (OFMC), berkata pada Rabu bahawa langkah tersebut direka bagi mengimbangi kelegaan pengguna dengan realiti fiskal.

Baca juga:
image is not available
Kredit: Bangkok Post

Langkah itu mengurangkan harga keluar kilang penapisan sebanyak 2 baht (RM0.25) seliter bagi diesel B7 dan B20, iaitu pengurangan pertama di bawah formula yang disemak semula dengan dikaitkan pada rujukan Singapura.

Perubahan itu akan disalurkan sepenuhnya kepada pengguna.

Mulai Khamis, harga runcit diesel turun sebanyak 2.14 baht (RM0.27) seliter di stesen minyak seluruh negara, menjadikan diesel B7 pada harga 48.40 baht (RM6.01) seliter dan B20 pada 43.40 baht (RM5.39) seliter.

Jawatankuasa itu juga bersetuju untuk mengurangkan subsidi diesel selepas harga minyak antarabangsa menunjukkan penurunan berterusan.

Harga penanda aras global susut daripada sekitar USD293 (RM1168.04) setong pada 2 April kepada kira-kira USD255 (RM1016.56) setong pada Selasa, sekali gus mewujudkan ruang kepada kerajaan untuk mengurangkan sokongan kewangan.

Subsidi bagi diesel B7 dikurangkan sebanyak 3.54 baht (RM0.44) seliter, daripada 18.54 baht (RM2.30) kepada 15 baht (RM1.86), manakala pampasan bagi B20 akan turun sebanyak 3.06 baht (RM0.38) seliter, daripada 20.09 baht (RM2.49) kepada 17.03 baht (RM2.11), menurut OFMC.

Pengurangan itu akan menurunkan perbelanjaan harian Dana Bahan Api Minyak sebanyak kira-kira 288 juta baht (RM35.7 juta), daripada 1.53 bilion (RM189.7 juta) kepada sekitar 1.24 bilion baht (RM153.75 juta), sekali gus memberi ruang kelegaan kewangan jangka pendek bagi dana OFMC.

Walaupun begitu, kewangan dana tersebut kekal rapuh.

Setakat Rabu, jumlah defisit keseluruhan mencecah 57.76 bilion baht (RM7.16 bilion), dengan akaun minyak menunjukkan kekurangan 20.25 bilion baht (RM2.51 bilion) dan akaun gas petroleum cecair mencatat defisit 37.51 bilion baht (RM4.65 bilion).

Akanat berkata kerjasama daripada semua pihak kritikal ketika Thailand menghadapi ketidaktentuan berterusan dalam pasaran tenaga global.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada rakyat atas kesabaran mereka serta pengendali kilang penapisan kerana berkongsi beban.

Menurutnya, usaha kolektif itu akan membantu mengawal kos sara hidup dan memastikan ekonomi terus bergerak dalam keadaan antarabangsa yang tidak menentu.