AKPS gagalkan cubaan seludup keluar bunga ganja RM1.69 juta di KLIA

1 Jul 2026 • 7:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: AKPS gagalkan cubaan seludup keluar bunga ganja RM1.69 juta di KLIA
Antara bunga ganja yang dirampas hasil kerjasama antara AKPS dan AVSEC di KLIA pada Isnin. - FOTO: AKPS

SEPANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis bunga ganja dianggarkan bernilai RM1.69 juta menerusi pemeriksaan bagasi daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Isnin.

AKPS dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, rampasan itu merupakan hasil tindakan bersepadu dan kerjasama erat antara AKPS KLIA dan Aviation Security (AVSEC) dalam memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara serta membanteras aktiviti penyeludupan rentas sempadan.

"Pemeriksaan terperinci menemukan sebanyak 39 bungkusan disyaki mengandungi bunga ganja atau cannabis flower dengan anggaran berat keseluruhan 21.14 kilogram.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,691,200 dan kuantiti dadah berkenaan dipercayai mampu menampung penggunaan seramai 70,333 individu pada satu-satu masa," katanya.

Menurut kenyataan itu, suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada polis untuk siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa

"Kejayaan itu membuktikan keberkesanan kawalan keselamatan berlapis di pintu masuk dan keluar negara selain tahap kesiapsiagaan anggota penguat kuasa dalam mengesan cubaan penyeludupan menggunakan pelbagai modus operandi," katanya.

Menurut agensi itu, AKPS akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara melalui pendekatan penguatkuasaan bersepadu, penggunaan teknologi pemeriksaan terkini serta kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan dadah dan jenayah rentas sempadan.

"AKPS tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman awam dan kesejahteraan negara," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved