SHAH ALAM – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja selepas menahan empat lelaki dan merampas 171.6 kilogram (kg) dadah dianggarkan bernilai RM13.73 juta menerusi beberapa siri serbuan di Selangor, Negeri Sembilan serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Sepang dengan kerjasama BSJN Nilai serta Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) antara 17 hingga 22 Jun lalu berjaya membongkar kegiatan sindiket yang dipercayai aktif menyeludup dadah ke Eropah.
Menurutnya, dalam serbuan pertama pada 17 Jun lalu, polis bantuan mengesan dua bagasi mencurigakan ketika melalui mesin pengimbas di Terminal KLIA sebelum menahan seorang lelaki warga asing berusia 30 tahun yang dipercayai pemilik bagasi tersebut.
"Hasil pemeriksaan menemukan 56 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 29.6 kg," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Rabu.
Shazeli berkata, dalam serbuan kedua pada 18 Jun, polis menahan seorang lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan di hadapan sebuah hotel di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan selepas pemeriksaan ke atas dua bagasi menemui 60 bungkusan dadah dengan anggaran berat 36 kg.
"Hasil soal siasat terhadap salah seorang suspek membawa polis ke sebuah kediaman di Banting sebelum menemukan empat guni berisi 120 ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 72 kg yang disimpan di dalam sebuah bilik," katanya.
Menurutnya, polis turut menyita sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 bernilai RM135,000 selain wang tunai dalam mata wang pound sterling dan dolar Singapura.
Shazeli berkata, dalam serbuan ketiga pada Isnin, polis sekali lagi mengesan dua bagasi mencurigakan di Terminal KLIA sebelum menahan seorang lelaki warga asing berusia 40 tahun.
"Pemeriksaan terhadap bagasi tersebut menemukan 34 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 34 kg," katanya.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah dan lelaki itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Semakan mendapati kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau di Malaysia.
"Siasatan turut mendapati suspek warga asing menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah di negara ini," katanya.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan bunga ganja seberat 171.6 kg itu dianggarkan mampu menampung penggunaan sehingga 572,000 penagih berdasarkan anggaran penggunaan 0.3 gram bagi setiap individu.
"Tangkapan dan rampasan ini membuktikan kewujudan sindiket pengedaran dadah berskala besar yang aktif dan terancang serta memberi ancaman serius kepada masyarakat.
"Kita akan mempergiatkan tindakan penguatkuasaan tanpa kompromi. Orang awam dinasihatkan agar tidak terlibat sebagai keldai dadah," katanya.






