AKPS rancang adakan sesi penerangan khas berkait ekosistem keselamatan lapangan terbang – Mohd Shuhaily

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 3:50 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: AKPS rancang adakan sesi penerangan khas berkait ekosistem keselamatan lapangan terbang – Mohd Shuhaily

KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan mengadakan sesi penerangan khas kepada semua pihak berkaitan bagi menjelaskan ekosistem keselamatan lapangan terbang, susulan timbul pelbagai persoalan dan kritikan mengenai kawalan keselamatan di lapangan terbang.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, sesi berkenaan akan memberi pemahaman kepada masyarakat dan semua pihak mengenai bagaimana ekosistem keselamatan lapangan terbang berfungsi, termasuk perkara yang tertakluk kepada ekosistem penerbangan antarabangsa.

Beliau berkata, sesi penerangan itu akan diadakan dalam masa terdekat dan bukan dalam bentuk sidang media seperti yang lazimnya dilakukan.

“Saya tidak akan mengadakan sidang media, sebaliknya lebih kepada sesi penerangan kepada semua dalam masa terdekat.

“Ini bertujuan agar masyarakat dan rakyat kita memahami bagaimana ekosistem keselamatan lapangan terbang berfungsi,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, perkara itu perlu dijelaskan berikutan terdapat pihak yang membuat kritikan, tohmahan dan hujah tanpa memahami secara menyeluruh ekosistem keselamatan lapangan terbang sebenar.

“Ramai yang menulis, membuat kritikan, tohmahan, serta hujah tanpa mengenali atau memahami ekosistem keselamatan lapangan terbang yang sebenar.

“Apa yang berlaku itu adalah tertakluk kepada ekosistem penerbangan antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, beliau juga menjangkakan akan dipanggil bagi memberikan penerangan lanjut berhubung isu berkenaan.

Katanya, pihaknya akan memberikan penerangan sewajarnya kepada semua pihak sebelum sebarang kesimpulan dibuat berhubung isu keselamatan lapangan terbang.

“Nanti saya akan adakan satu sesi penerangan khas. Saya rasa tidak lama lagi saya juga akan dipanggil oleh pihak Parlimen untuk memberi penerangan lanjut.

“Sebelum perkara itu berlaku, adalah lebih baik untuk menantikan sesi penerangan tersebut kelak,” katanya.

Isu keselamatan lapangan terbang menjadi perhatian susulan beberapa kes penyeludupan bahan terlarang yang dikaitkan dengan perjalanan udara baru-baru ini.

Terbaharu, polis merampas sejumlah besar dadah dalam beberapa operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), termasuk 247.8 kilogram (kg) bunga ganja bernilai kira-kira RM19.82 juta dalam enam siri tangkapan antara 11 hingga 17 Julai lalu.

Pada Mei lalu pula, polis menumpaskan empat sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bunga ganja dan syabu seberat 251.8kg bernilai RM17.8 juta menerusi operasi di sekitar KLIA dan Ampang.

Perkembangan terbaharu itu turut mencetuskan persoalan mengenai mekanisme pemeriksaan dan kawalan keselamatan di lapangan terbang, khususnya membabitkan peranan pelbagai agensi dalam ekosistem keselamatan penerbangan.

Dalam perkembangan berkaitan, AKPS sebelum ini menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai yang didapati terbabit dalam aktiviti penyeludupan. – UTUSAN

The post AKPS rancang adakan sesi penerangan khas berkait ekosistem keselamatan lapangan terbang – Mohd Shuhaily appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved