KOTA KINABALU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menyita 12 kontena mengandungi produk haiwan sejuk beku seberat kira-kira 348,000 kilogram (kg) bernilai RM3.42 juta di Pelabuhan Sepanggar, di sini.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua kontena berkenaan mengandungi produk daging ayam dan babi sejuk beku dari China dan Hong Kong yang dipercayai dibawa masuk melalui pengikraran tidak selaras.
Katanya, 11 kontena mengandungi daging ayam sejuk beku, manakala sebuah lagi mengandungi daging babi sejuk beku.
“Kontena-kontena ini adalah hasil daripada operasi pertama yang kita jalankan pada Julai lalu. Pada ketika itu, kontena berkenaan belum boleh diperiksa kerana masih berada dalam tempoh masa yang dibenarkan untuk membuat pengisytiharan.
“Mereka diberikan tempoh 30 hari untuk membuat pengisytiharan, namun gagal berbuat demikian.
Oleh itu, pada 16 Julai lalu kita mengambil keputusan untuk memeriksa 12 kontena berkenaan,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Sepanggar, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan susulan maklumat risikan yang menunjukkan barangan berkenaan berkemungkinan besar adalah barangan larangan yang tidak boleh dibawa masuk ke Sabah.
Mohd Shuhaily berkata, selain tidak membuat pengisytiharan, terdapat juga kontena yang mengandungi barangan dengan maklumat dalam manifes dan dokumen perjalanan awal yang tidak benar.
“Pernyataan awal hanya menyatakan ‘makanan sejuk beku’ yang sifatnya terlalu umum dan tidak semestinya bermaksud daging. Malah, ada yang mengisytiharkannya sebagai sayur.
“Itu jelas menunjukkan maklumat yang diberikan dalam manifes dan dokumen perjalanan awal adalah tidak benar,” katanya.
Beliau berkata, kesemua barangan berkenaan disita untuk siasatan lanjut dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 [Akta 235] kerana gagal membuat akuan penuh dan benar serta membuat perakuan atau dokumen yang tidak benar dalam apa-apa perkara material.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily turut berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti pihak yang boleh dikaitkan dengan kegiatan itu, termasuk ejen-ejen yang terlibat bagi membolehkan tindakan pendakwaan diambil.
“Tiada pihak yang tampil untuk menuntut barangan tersebut kerana tiada pengisytiharan dibuat. Jadi, identiti pemilik belum dapat dikenal pasti buat masa ini.
“Kita sedang menguji dan melihat sekiranya ada ejen-ejen yang boleh dikaitkan dalam kes ini mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Harapan kita, walau apa cara sekalipun, kes ini dapat membawa kepada pendakwaan bagi menghentikan kegiatan sebegini,” katanya.
Menurutnya, modus operandi kegiatan itu dipercayai menggunakan manifes dan borang deklarasi yang tidak benar bagi mengaburi pihak berkuasa.
Katanya, risikan serta penelitian terhadap manifes dan deklarasi membolehkan pihaknya mengesan ketidakselarasan dalam pengikraran berkenaan.
“Dalam konteks 12 kontena ini, barangan tersebut dipercayai untuk kegunaan pasaran dalaman Sabah,” katanya.
Mengulas tindakan penguatkuasaan lebih menyeluruh, Mohd Shuhaily berkata, sejak April lalu hingga operasi berkenaan dijalankan, AKPS telah menahan hampir 40 kontena dengan nilai rampasan keseluruhan kira-kira RM6.7 juta.
Katanya, usaha sama turut dilaksanakan di Sarawak apabila hampir sembilan kontena ditahan atas kesalahan sama dengan nilai rampasan kira-kira RM3.14 juta.
“Usaha ini akan terus kita jalankan di seluruh negara,” katanya.
Operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan AKPS dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (DVS) dan Pihak Berkuasa Pelabuhan.
Operasi bersepadu berkenaan bermula pada 19 Mei lalu bagi membanteras kemasukan dagangan produk haiwan secara tidak sah ke negara ini. – UTUSAN
The post AKPS sita 12 kontena produk haiwan sejuk beku bernilai RM3.42 juta appeared first on Utusan Malaysia.





