AKPS siasat dakwaan pegawai terima RM100 di KLIA

LocalPolitics
13 Jul 2026 • 10:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

AKPS siasat dakwaan pegawai terima RM100 di KLIA

SEPANG, 13 JULAI: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) membuka siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku dan penyalahgunaan kuasa oleh seorang pegawai bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Komander Pintu Masuk AKPS KLIA Mohd Safrie Zakaria berkata siasatan digerakkan serta-merta oleh Bahagian Integriti AKPS KLIA sebaik sahaja pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran yang tular dalam platform Threads pada Sabtu lalu.

Hantaran itu mendakwa pegawai berkenaan menerima wang berjumlah RM100 melalui pembayaran menggunakan kod QR ke akaun perbankan peribadi.

"Pihak pengurusan tertinggi AKPS memandang serius dakwaan tersebut. Sehubungan dengan itu, satu siasatan dalaman secara menyeluruh dan terperinci telah digerakkan serta-merta oleh Bahagian Integriti AKPS KLIA, bagi mengenal pasti fakta serta memastikan ketelusan dalam proses siasatan.

"Pegawai yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut telah dipanggil oleh pihak pengurusan tertinggi AKPS KLIA untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Safrie berkata AKPS KLIA telah menghubungi pemilik akaun Threads, @brayenngabriel, kira-kira 11 pagi semalam bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden yang didakwa berlaku, namun hingga 4 petang hari ini tiada maklum balas diterima daripada pemilik akaun berkenaan.

Beliau berkata AKPS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang melanggar prinsip integriti, menyalahgunakan kuasa atau ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sekiranya hasil siasatan membuktikan wujudnya sebarang salah laku, tindakan tatatertib dan undang-undang yang tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Safrie menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu agar tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved