AKPS Tahan Suami Isteri Bawa Wang Tunai Hampir RM3 Juta Ke Singapura

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 3:04 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

AKPS Tahan Suami Isteri Bawa Wang Tunai Hampir RM3 Juta Ke Singapura

JOHOR BAHRU, 28 Okt (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan sepasang suami isteri warga Malaysia selepas disyaki cuba membawa keluar wang tunai berjumlah hampir RM3 juta ke Singapura tanpa pengisytiharan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS Datuk Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata pasangan berusia 41 dan 42 tahun itu ditahan kira-kira 11.40 pagi ketika melalui zon pemeriksaan kenderaan menghala ke Woodlands dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih.

Beliau berkata pemeriksaan oleh tiga pegawai AKPS menemukan wang tunai berjumlah RM1,971,697 dan SGD300,000 (kira-kira RM955,300) yang disimpan di dalam tiga kotak, satu beg kertas dan satu beg galas hitam di ruang penumpang belakang kenderaan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan selepas pemandu kenderaan menunjukkan kelakuan mencurigakan ketika disoal dan diarahkan membuka ruang penyimpanan barang serta tempat duduk penumpang untuk diperiksa,” katanya pada sidang media di pejabat AKPS BSI di sini hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata pasangan ahli perniagaan itu berasal dari Johor dipercayai dalam perjalanan ke Singapura untuk melancong.

Bagaimanapun, beliau berkata tujuan sebenar wang tunai dalam jumlah besar itu dibawa ke republik berkenaan serta alasan kegagalan membuat pengisytiharan masih dalam siasatan.

Mohd Nasaruddin berkata kedua-dua individu turut dibawa ke mahkamah pagi ini bagi permohonan reman.

“Kenderaan terbabit juga telah disita sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata individu yang membawa masuk atau keluar wang tunai melebihi atau bersamaan USD10,000 (kira-kira RM40,800) merentasi sempadan negara perlu membuat pengisytiharan kepada JKDM.

"AKPS komited memperketat kawalan di semua pintu masuk negara bagi membanteras pelanggaran undang-undang yang boleh menjejaskan hasil negara,' katanya.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved